
TUARAN: Meskipun pergerakan terbatas dan menyukarkan, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, tetap memberi sokongan padu kepada sahabatnya, ATKiulu, Datuk Joniston Bangkuai menang kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Jahid, 64, merupakan Timbalan Pembangunan Luar Bandar Sabah dan juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) sedang menjalani pemulihan sejak Ogos lalu selepas jatuh pengsan semasa program bekalan air di Pitas.
Isteri Jahid, Datik Malianah Ugau, ketika menyampaikan pandangan suaminya mengenai pencalonan Joniston, berkata, suaminya mengikuti dengan teliti perkembangan PRU15 dan menyifatkan pemilihan Ketua Penerangan PBS itu sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah tepat.
“Biarpun tidak dapat turun ke lapangan namun Jahid tahu apa yang terbaik untuk kepentingan rakyat. Malah tidak pernah berhenti mendesak dan memberi motivasi kepada jentera pilihan raya PBS Bahagian Tamparuli untuk lebih berusaha bagi memastikan Joniston merampas kerusi Tuaran.
“Inilah pendirian Jahid,” katanya semasa berucap pada sesi pertemuan Joniston dengan penduduk setempat di Kampung Bontol, di sini, hari ini.
Malianah, yang juga Ketua Wanita PBS, berkata suaminya, lebih mesra dengan panggilan ‘JJ’, teruja apabila nama Joniston diumumkan sebagai calon dan menghantar teks emoji melalui telefon bimbit, sebagai tanda penghargaan dan tahniah kepada Joniston.
Parlimen Tuaran merangkumi empat kawasan DUN iaitu Kiulu dan Tamparuli di bawah wakil GRS-PBS, diikuti Sulaman yang diwakili Ketua Menteri Datuk Sri Hajiji Noor dari GRS- Bersatu dan Pantai Dalit yang diwakili Jasnih Daya dari Umno-Barisan Nasional (BN).
GRS terdiri daripada parti Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan menjalin kerjasama dengan BN untuk mentadbir kerajaan negeri.
Pada majlis tersebut, Joniston, menyatakan rasa hormat dan kagumnya kepada Jahid, yang dianggapnya sebagai pemimpin berdedikasi dan sahabat sejati.
“Kemenangan akan menjadi hadiah untuk Datuk Jahid. Kita mesti terus mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya agar dapat kembali menjalankan tugas sebagai menteri dan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.
Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, turut menegaskan pentingnya mengambil alih kerusi Parlimen Tuaran kerana GRS dan BN sudah menyandang keempat-empat kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen itu.
Joniston menghadapi pertarungan enam penjuru menentang Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau, selaku penyandang mewakili Pakatan Harapan (PH), Jo-Anna Sue Henley Rampas (Warisan); Muminin Kalingkong (Pejuang) dan dua calon Bebas Bobby Lewat dan Datuk Noortaip Suhaili.-Bernama
