
SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan pembentukan kerajaan Persekutuan pada Ahad.
Muhyiddin mendedahkan pertemuan itu menerusi ciapan di Twitter.
"Pagi ini saya menerima kunjungan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk membincangkan pembentukan kerajaan Persekutuan.
"Rundingan juga sedang dibuat dengan parti-parti lain yang sehaluan dan ahli Parlimen bebas.
"Insya-Allah, kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk dalam masa terdekat," katanya.
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada mana-mana parti berjaya memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada keseluruhan jumlah 219 kerusi dipertandingkan
Pakatan Harapan (PH) memenangi sebanyak 76 kerusi di peringkat Parlimen, diikuti Perikatan Nasional (PN) 51 kerusi; Barisan Nasional (BN) 30 kerusi dan masing-masing 22 kerusi bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pas.
Selain itu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh enam kerusi, manakala DAP berjaya mendapat lima kerusi dan calon Bebas, dua kerusi.
Perkara itu diumumkan SPR dalam sidang akhbar pengumuman keputusan rasmi PRU15 setakat pukul 4.30 pagi Ahad.
