PRU15: Rozabil mahu agropelancongan jadi pendapatan pesawah

Politics
10 Nov 2022 • 4:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rozabil (kanan) beramah-mesra dengan masyarakat Cina di pekan Pauh, Arau pada Khamis.

ARAU - Menerokai sektor agropelancongan menjadi antara agenda utama calon BN Parlimen Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman untuk membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurut Rozabil, sektor agropelancongan mempunyai potensi untuk dibangunkan di negeri Perlis terutamanya dalam kawasan Parlimen Arau kerana majoriti masyarakat di sini adalah golongan pesawah.

“Sepanjang berkempen ini, saya berjumpa dengan pesawah yang berdepan masalah infrastruktur berkaitan sistem pengairan dalam kawasan bendang mereka. Itu saya mahu selesaikan segera. Menyentuh mengenai pertanian ini, saya melihat potensi sektor agropelancongan di kawasan ini.

“Ini kerana di sini ada bendang-bendang yang cantik. Saya nak pastikan kebersihan kampung-kampung ini terjaga. Apabila kampung-kampung kita ini bersih, jadi orang (pelancong) boleh datang ke sini seperti di Sekinchan.

“Agropelancongan ini boleh menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat. Jadi mereka tidak lagi tertumpu kepada satu sumber pendapatan sahaja dan ini secara tidak langsung, boleh menarik anak-anak mereka (golongan muda) untuk terus menetap dan bekerja di Perlis,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Rozabil sebelum itu bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar melakukan program tinjauan mesra (walkabout) di pasar pagi yang menjadi tumpuan masyarakat Cina bagi memperkenalkan diri kepada pengundi dalam Parlimen Arau.

Rozabil berkata, usaha mewujudkan lebih banyak agropelancongan di kawasan Arau juga dapat menarik pelancong luar untuk berkunjung ke sini sebelum mereka menaiki feri ke Pulau Langkawi, Kedah.

Dalam perkembangan sama, Rozabil berkata, beliau mahu membantu menarik pelabur-pelabur ke negeri ini bagi membolehkan anak-anak Perlis dapat kembali menetap di negeri ini.

“Antara isu yang saya lihat, banyak anak-anak Perlis yang bekerja di luar. Mereka bekerja di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bharu, jadi jumlah penduduk di negeri ini semakin berkurangan.

“Ini secara tidak langsung membuatkan pertumbuhan ekonomi negeri berkembang lebih perlahan. Kalau orang tumpu ke negeri ini dan anak-anak Perlis tinggal dalam di sini, kita akan dapat memberangsangkan ekonomi (Perlis).

“Untuk itu, kita perlu memberi tawaran kepada mereka (anak-anak Perlis) dengan menarik pelabur ke negeri ini. Projek Chuping Valley Industrial misalnya, mempunyai potensi untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya.