PRU15: Syarikat penerbangan diharap tawar kadar tiket murah - Fadillah

Politics
21 Oct 2022 • 6:29 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUCHING: Syarikat penerbangan diharap dapat menyediakan kadar tambang lebih murah kepada pengundi yang ingin pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini bagi meringankan beban pengundi yang perlu menggunakan pengangkutan udara untuk pulang.

Menurutnya kerajaan tidak boleh menyediakan peruntukan bagi membantu pengundi untuk balik mengundi.

“Pihak kerajaan tidak boleh menyediakan peruntukan untuk pengundi pulang mengundi kerana dari segi perundangan itu tidak dibenarkan.

“Melainkan ada pihak atau individu yang mahu menaja (tiket penerbangan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat persediaan PRU15 parlimen Petra Jaya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) akan mengawal selia harga tiket, supaya syarikat penerbangan tidak meningkatkan harga sewenang-wenangnya menjelang PRU15.

Wee berkata walaupun harga tiket penerbangan, secara lazimnya akan meningkat mengikut Mekanisme Harga Dinamik jika terdapat sesuatu peristiwa melibatkan pergerakan orang ramai, Mavcom akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan didapati menaikkan harga tidak mengikut syarat ditetapkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.-Bernama