PRU15 titik hitam akan menghantui UMNO sepanjang hayat

Politics
11 Jan 2023 • 9:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamd (depan, tengah) pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu adalah titik hitam yang akan menghantui UMNO selagi hayat dikandung badan.

Menurutnya, UMNO tewas dengan kekalahan yang begitu menginsafkan.

"Kita mesti berdepan, dengan hakikat yang sangat pahit. Bahawa UMNO, hampir tenggelam, dan karam, dibadai taufan yang menggerunkan.

"Kita tewas, dengan kekalahan, yang amat menginsafkan. Kekalahan yang membuka mata, menggegar minda, merenyuk sanubari.

"Pilihan Raya Umum lepas, adalah titik hitam, yang akan selamanya, menghantui UMNO. Ia tidak mungkin kita lupakan, selagi hayat dikandung badan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, di sini pada Rabu.

Tambah beliau, semua ahli UMNO merasa terpukul dengan penolakan secara besar-besaran, orang Melayu terhadap parti itu.

Justeru, beliau tampil menjelaskan setiap pendirian, dan ketetapan, yang telah diambil, semenjak beberapa minggu lalu, setelah UMNO terjerumus teruk, dengan prestasi pilihan raya, yang sangat mengecewakan.

"Menjelaskan dengan seikhlasnya, mengapa keputusan, dan pendirian kami, adalah sedemikian. Kerana yang pasti, semua ahli UMNO, memerlukan jawapan, dan penjelasan, yang tuntas.

"Pertama, mengapa kami membuat, keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan. Apakah natijah, dan kesannya, kepada kebolehlangsungan UMNO, di masa hadapan.

"Kedua, bagaimana semua ini, akan menentukan, masa depan UMNO, dan bagaimana, kita akan menguruskan, arah baru parti ini. Apakah iltizam kita, untuk merawat, memulih, dan membangunkan semula, sang belahan jiwa kita, parti UMNO yang disayangi," katanya.