PRU15: Umno, BN bergerak solo – Zahid

Politics
14 Oct 2022 • 1:41 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Khamis memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata ini berikutan keputusan PAS untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

“Dengan keputusan ini, Umno bersama BN akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan serta kemakmuran kepada rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dan perkara tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid meletakkan tiga syarat untuk dipenuhi PAS sebelum Umno kembali berunding dengan parti itu iaitu PAS perlu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu ‘mufarakah’ atau berpisah sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno, berkata meskipun keputusan PAS sudah dapat dijangka namun parti itu tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya pula memaklumkan keputusan PAS untuk kekal bersama PN menyuntik semangat kepada gabungan itu bergerak dengan lebih tersusun dan bersatu padu dalam meraih sokongan rakyat.

“Secara peribadi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dan rakan-rakan pimpinan PAS yang terus istiqamah mempertahankan kerjasama PAS dalam PN, “ katanya.

Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu, turut mendoakan agar PN mendapat mandat rakyat dalam PRU15 untuk membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memberi tumpuan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article