PRU15: Warisan tanding 53 kerusi Parlimen seluruh negara

Politics
3 Nov 2022 • 3:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Shafie

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Parti Warisan (Warisan) setakat Khamis mengesahkan untuk bertanding di 53 kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, daripada jumlah itu Warisan bertanding di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah, satu di Labuan, manakala 27 kerusi Parlimen lagi di Semenanjung.

"Bila kita nak bertanding kena pastikan boleh menang, bukan nak tanding memenuhi kehendak orang...kita nak pertimbangan (calon) selain berkebolehan, berilmu, mampu memenanginya (kerusi ditandingi), kita mahu calon ini ada jiwa dia.

"Persoalan sama ada 53 kerusi (Parlimen ditandingi) kita yakin Sarawak dan Sabah satu blok penting, semua ahli Parlimen pertahan hak kita terutama MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) jangan hanya janji,” katanya pada sidang media selepas Pengumuman dan Penyampaian Watikah Calon PRU15 Warisan di sini pada Khamis.

Ujar beliau, Warisan sedang meneliti beberapa kerusi Parlimen lagi di Semenanjung untuk ditandingi dan tidak menolak menambah bilangan itu sekiranya mendapat maklum balas positif pengundi serta mempunyai calon mampu menang di kawasan berkenaan. - Bernama

Sementara itu, pada majlis tersebut Mohd Shafie mengumumkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Semporna yang disandangnya selama enam penggal, iaitu lima penggal di bawah Barisan Nasional (BN) bermula PRU9 pada 1995, manakala PRU14 pada 2018 atas tiket Warisan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, turut mengumumkan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking yang juga ADUN Moyog akan mempertahankan kerusi Parlimen Penampang, manakala Ketua Penerangan parti, Datuk Mohd Azis Jamman mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar.

Antara calon mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing ialah Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti, Datuk Rozman Isli (Labuan), dan AMT parti, Ma'mun Sulaiman (Kalabakan).

Menurutnya, antara calon muka baharu pula terdiri daripada Ketua Wira Warisan, Mohd Ismail Ayob (Kinabatangan), Timbalan Ketua Wirawati parti, Jo-Anna Sue Henly Rampas (Tuaran), dan Ketua Bahagian Warisan Ranau, Markos Siton (Ranau).

Selain Mohd Shafie dan Darrel, ADUN yang dicalonkan terdiri daripada ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof (Kimanis), dan ADUN Sekong, Alias Sani (Batu Sapi), manakala bekas ADUN Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal yang juga adik Mohd Shafie bertanding di kerusi Parlimen Lahad Datu.

View Original Article