
Kuala Lumpur: Parti Warisan memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai.
Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr berkata pihaknya telah pun memaklumkan keputusan tersebut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Bagaimanapun, logo Parti Warisan masih akan tersenarai dalam kertas undi oleh kerana sudah didaftarkan sebagai salah satu parti yang bertanding di Parlimen Padang Serai pada 5 November lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
SPR menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember berikutan kematian calon PH, M. Karupaiya, 69, pada 16 November lepas.
Terdahulu, proses penamaan calon yang selesai 10 pagi Khamis menyaksikan enam calon akan bersaing di Padang Serai, melibatkan Datuk Azman Nasrudin daripada PN, Dr Mohamad Sofee Razak (PH), Datuk C. Sivaraajh (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

