IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyasarkan sekurang-kurangnya tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, ketika ini lima kerusi DUN hampir pasti menjadi milik mereka untuk ditandingi iaitu Manjoi, Kamunting, Pasir Panjang, Titi Serong termasuk Sungai Rapat yang dimenangi sebelum ini.
Menurut beliau, bagaimanapun kerusi-kerusi tambahan yang dipertimbangkan masih dalam penilaian dan belum boleh didedahkan.
"Setakat ini lima kerusi ini memang tak ada pertikaianlah di situ. Walaupun ada suara-suara yang mengusik kata dalam Parlimen Tambun ini bagilah satu pada kami sebab takkan PH (Pakatan Harapan) semua. Begitu juga tempat lain bagilah juga pada PH takkan BN (Barisan Nasional) semua. Tapi itu kita tak bincanglah setakat ini.
**media[3462166]**
"Tetapi secara peribadinya kita memang tak selesa dengan setakat lima kerusi dan kalau boleh kita nak tambah paling tidak sehingga lapan kerusi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Amanah Negeri Perak di sini pada Jumaat.
Asmuni berkata, dari segi calon pula, pihaknya akan menampilkan gabungan muka baru dan dalam termasuk dalam kalangan pemuda, Angkatan Wanita Amanah (Awan) dan Wanita Muda Amanah (Warda).
Katanya, bagaimanapun calon-calon ini akan dicadangkan oleh Amanah Kawasan sebelum dimuktamadkan pimpinan tertinggi.
Ditanya kemungkinan PRU16 berlangsung tahun ini, Asmuni menyifatkan perkara itu di luar bidang kuasanya kerana pembubaran Parlimen merupakan hak Perdana Menteri.
Bagaimanapun pihaknya sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan memandangkan pelbagai pihak mencadangkan agar PRU16 dilaksanakan pada tahun ini bersama-sama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
"Kita juga mengambil maklum tentang kos yang akan terpaksa ditanggung bukan sahaja oleh kerajaan tetapi pengundi luar yang akan pulang mengundi.
"Kalau sekiranya kos ini membebankan mereka, mungkin mereka tidak datang ataupun tidak turut serta mengundi," katanya.
Pada PRU15 lalu, Amanah bertanding sebanyak 19 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen di Perak.
