
PAPAR: Isyarat yang diberikan rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini akan menjadi antara indikator penting kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menentukan bentuk kerjasama politik dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selain isyarat pengundi, pandangan parti komponen berdasarkan maklum balas ahli di peringkat akar umbi turut diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, hala tuju GRS, termasuk kemungkinan menjalin kerjasama dengan parti lain, akan dibincangkan secara kolektif oleh Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu apabila tiba masanya.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah memperkukuh kekuatan gabungan berkenaan di semua kawasan dan setakat ini belum ada perbincangan khusus mengenai kerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRU16.
“GRS perlu melihat isyarat yang diberikan rakyat dalam PRN lalu. Itu salah satu indikator penting untuk diteliti bagi menentukan hala tuju GRS ke depan.
“Bagaimanapun, perkara ini bukan bergantung kepada pandangan peribadi saya walaupun saya Setiausaha Agung, sebaliknya memerlukan maklum balas daripada ahli parti komponen di peringkat akar umbi sebelum dibincangkan dalam MT GRS,” katanya pada sidang media sempena Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Peringkat Negeri Sabah, di sini, Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan bekas Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, supaya GRS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menerusi payung Muafakat Sabah pada PRU16 sebagai usaha membina persefahaman politik lebih kukuh demi rakyat dan Sabah.
Raime dalam kenyataan sebelum ini turut menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebagai bukti kerjasama erat GRS dan BN yang menyumbang kepada kemenangan besar.
Mengulas lanjut, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, perkara berkaitan dasar dan hala tuju GRS perlu diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan gabungan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan parti lain memandangkan GRS sebelum ini terbuka untuk bekerjasama, termasuk dengan Pakatan Harapan (PH), bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil.
“Kalau kita lihat, GRS ini terbuka. Dalam PRN yang lepas pun, kita ada bekerjasama dengan parti lain. Selepas pilihan raya pun kita bekerjasama untuk membentuk kerajaan. Jadi, apa yang penting adalah mewujudkan kestabilan kerajaan negeri supaya kita dapat memberikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
Mengenai kenyataan Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, sebelum ini bahawa PH berhasrat mempertahankan tiga kerusi dimenanginya – Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan – selain mengintai beberapa kerusi lain yang mungkin tidak ditandingi GRS, Armizan berkata setiap parti mempunyai pertimbangan masing-masing dan bebas menentukan hala tuju serta strategi menghadapi pilihan raya.
“Pandangan saya tidak penting kepada pendirian yang dibuat parti lain. Setiap parti mempunyai pertimbangan dan hak untuk menentukan hala tuju masing-masing dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa selain mengambil kira pandangan parti komponen dan isyarat rakyat, kepentingan membentuk kerajaan yang stabil di peringkat Persekutuan dan negeri turut menjadi antara pertimbangan utama GRS.
Katanya, kestabilan penting bagi memastikan pentadbiran dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta melaksanakan agenda pembangunan negeri.






