PRU16: Tuntutan kerusi dibincang di peringkat tertinggi - Pengerusi PKR Perak

LocalPolitics
18 Apr 2026 • 11:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRU16: Tuntutan kerusi dibincang di peringkat tertinggi - Pengerusi PKR Perak
Mohamad Hairul Amir (kiri) bertemu dengan waris pelajar selepas menyempurnakan Program Bantuan Pendidikan Madani Parlimen Tambun 2026 di SMK Ulu Kinta pada Sabtu.

IPOH – Semua usul termasuk tuntutan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti termasuk dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, suara akar umbi yang dibawa melalui mesyuarat agung di 24 cabang parti di negeri ini akan dinilai sebelum diangkat ke peringkat lebih tinggi untuk pertimbangan lanjut.

Menurutnya, pelbagai isu termasuk perkara sensitif dan hangat telah dibangkitkan oleh perwakilan cabang, namun semuanya akan diteliti secara menyeluruh di peringkat negeri.

“Di peringkat negeri, kita akan ambil dan nilai semua pandangan ini sebelum dibincangkan dalam PKR negeri, seterusnya dengan PH negeri dan Kerajaan Perpaduan.

“Insya-ALLAH, perkara ini juga akan diangkat ke Kongres Pusat parti,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Bantuan Pendidikan Madani Parlimen Tambun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Kinta di sini pada Sabtu.

Mengulas isu tuntutan kerusi, Mohamad Hairul Amir menjelaskan situasi di Perak ketika ini berada dalam keadaan terkawal dan tidak menimbulkan konflik besar seperti di beberapa negeri lain.

“Setakat ini di Perak, kita boleh katakan keadaan agak ‘clear’. Tidak berlaku isu besar berkaitan kerusi kerana secara asasnya sudah ada penyelarasan termasuk pelantikan Pegawai Khas Menteri Besar bagi kawasan-kawasan tertentu.

“Kalau ada tuntutan atau pertukaran kerusi, ia akan dilakukan secara rundingan dan dalam keadaan baik, mungkin melibatkan pertukaran kawasan secara bersama,” katanya yang juga Pegawai Khas Kanan kepada Ahli Parlimen Tambun.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan PKR Perak turut mengambil pendekatan berbeza dalam memastikan kualiti kepimpinan tempatan apabila melaksanakan sesi temu duga bagi pemilihan Ahli Majlis.

Jelasnya, langkah tersebut bertujuan memastikan hanya calon yang berkelayakan dan mampu berfungsi dipilih, sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap prestasi Pegawai Khas Menteri Besar daripada PKR di tiga kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau, Kuala Sepetang dan Sungai Manik yang disifatkan aktif serta komited dalam menjalankan tugas.

Pada 16 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan PKR Cabang Lumut mengemukakan usul tergempar menuntut agar kerusi DUN Pangkor diberikan kepada parti itu untuk ditandingi pada PRU16.

Ketua Cabang PKR Lumut, Abdul Razak Nazri berkata, usul berkenaan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Lumut 2026 pada Sabtu lalu sebagai usaha memperkukuh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di kawasan Parlimen Lumut.

View Original Article