Video baharu ini memberikan maklumat yang menghiburkan dan mendidik kepada kanak-kanak dengan menampilkan watak-watak popular Cartoon Network
Kuala Lumpur, 25 Julai 2022 – Prudence Foundation hari ini melancarkan video pendidikan berdurasi 60 saat berjudul “Stress Busters” dalam lapan pasaran di Asia.
Diterbitkan bersama dengan Cartoon Network dan International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (‘IFRC’), video ini menyentuh tentang kesihatan dan kesejahteraan mental kanak-kanak dengan petua yang mudah difahami dan dihayati bagi mengatasi tekanan dan keresahan. Video ini adalah sebahagian daripada program SAFE STEPS Kids Prudence Foundation.
Marc Fancy, Pengarah Eksekutif, Prudence Foundation berkata tekanan dan keresahan jika tidak diuruskan dengan betul boleh mendatangkan kesan buruk jangka panjang kepada perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak.
“Kanak-kanak hari ini menghadapi lebih banyak cabaran dan ketakpastian yang diburukkan lagi oleh impak sosial dan tidak kelihatan daripada pandemik COVID-19 yang berterusan. Kami berusaha untuk memberikan nasihat yang mudah dan mesra kepada jutaan kanak-kanak di Asia bagi menolong mereka menangani tekanan dan membina ketahanan mental,” kata Encik Fancy.
Laporan oleh UNICEF pada tahun 2021 menyatakan bahawa lebih daripada satu daripada tujuh remaja berumur 10 hingga 19 tahun di seluruh dunia dianggarkan hidup dengan diagnosis isu kesihatan mental. Gangguan pada rutin, pendidikan, rekreasi dan juga pendapatan dan kesihatan keluarga menjadikan ramai golongan muda berasa takut, marah dan bimbang tentang masa depan mereka.
Digarap dengan mengambil kira keperluan penonton muda Asia, video “Stress Busters” memanfaatkan program asal Cartoon Network seperti The Powerpuff Girls, We Bare Bears dan Craig of the Creek. Watak-watak kartun terkenal ini menjelaskan kepentingan dan cara menangani tekanan.
Awantika Sood, Pengarah Eksekutif Barangan Pengguna, Pengiklanan dan Perkongsian – Asia Tenggara di Warner Bros. Discovery, yang menempatkan Cartoon Network dalam portfolio jenamanya, berkata: “Pengumuman perkhidmatan awam ini menawarkan enam petua mudah bagi membantu kanak-kanak mengatasi beberapa kesulitan biasa berkaitan tekanan. Cartoon Network adalah tempat yang memberi inspirasi kepada kanak-kanak untuk menerima jati diri mereka dan video ini adalah lanjutan kepada falsafah ini. Kami merasakan formatnya yang begitu unik akan mudah difahami dan dihayati oleh golongan muda di rantau ini.”
SAFE STEPS Kids Stress Busters disiarkan di saluran Cartoon Network dalam lapan pasaran di Asia, iaitu Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam bermula hari ini. Video ini tersedia dalam Bahasa Inggeris, Thai, Cina dan Vietnam, mencapai 35 juta isi rumah setiap hari.
Mariko Hirai, Wakil Belia, IFRC Asia Pacific, berkata: “Kanak-kanak dari segenap peringkat umur dalam semua jenis persekitaran bergelut dengan cabaran yang berpanjangan disebabkan oleh pandemik COVID-19. Video baharu “Stress Busters” ini adalah komitmen bersama IFRC dan National Societies bagi membentuk budaya keselamatan bagi kanak-kanak di seluruh Asia. Ia juga mempamerkan usaha kritikal yang telah kami jalankan bersama di sekolah-sekolah.”
Video “Stress Busters’ juga akan disiarkan di laman sesawang SAFE STEPS Kids di https://www.safestepskids.com dan saluran sosial Cartoon Network. Poster dan kad permainan akan diedarkan ke sekolah dan komuniti di seluruh rantau ini melalui rangkaian IFRC.
