
KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah menerima sebanyak 24 permohonan tempahan daripada sekolah seluruh negara bagi menganjurkan hari sukan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), setakat ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan permohonan dibuka sejak Ogos lepas menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Bandaraya, Kuala Lumpur telah menjadi sekolah pertama yang menganjurkan hari sukan sekolah tahunan semalam.
“Seiring dengan hasrat Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan di bawah PSM ini bertujuan untuk memfokuskan olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah serta murid-murid sekolah dapat merasai pengalaman berlari di Stadium Nasional Bukit Jalil yang boleh memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi seorang atlet,” menurut kenyataan tersebut.
Pada 25 Julai lepas, Hannah mengumumkan inisiatif PSM memberi tawaran istimewa kepada semua sekolah menggunakan SNBJ secara percuma bagi tempoh dua tahun khusus untuk penganjuran hari sukan.
Selain SNBJ, PSM turut memberi tawaran penggunaan secara percuma dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah. -Bernama


