PSRA 2026: 45,735 calon lulus, 7,869 raih keputusan cemerlang Mumtaz

19 Nov 2026 • 3:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

PSRA 2026: 45,735 calon lulus, 7,869 raih keputusan cemerlang Mumtaz

SHAH ALAM, 19 NOV: Seramai 45,735 calon lulus Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2026 bersamaan 95.3 peratus, dengan 7,869 calon atau 16.1 peratus murid memperoleh pangkat Mumtaz (cemerlang).

EXCO Agama Islam, Dr Fahmi Ngah berkata pencapaian mata pelajaran Tilawah dan Hafazan mencatatkan keputusan tertinggi dengan kadar kelulusan sebanyak 99.9 peratus, diikuti Bahasa Arab (95.7 peratus) serta Jawi, Imlak dan Khat dengan 95.4 peratus.

Bagaimanapun, Dr Fahmi berkata, kadar peratusan calon cemerlang pada tahun ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun lalu susulan perubahan kurikulum, yang memberi cabaran kepada guru dan murid untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu.

Image from: PSRA 2026: 45,735 calon lulus, 7,869 raih keputusan cemerlang Mumtaz
EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap sempena majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA) Jabatan Agama Islam Selangor 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Perbandingan prestasi bagi pencapaian Mumtaz ada sedikit pengurangan tetapi tidak begitu signifikan kerana berlaku perubahan dalam kurikulum.

“Saya sudah minta pengarah untuk menyegerakan latihan untuk melatih guru-guru kita supaya dapat mendakap kurikulum baharu. Insya-Allah tahun depan, kalau tiada perubahan lagi, kita akan naikkan standard,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2026 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu turut meraikan murid cemerlang PSRA di setiap daerah, sekolah terbaik, serta murid terbaik keseluruhan bagi PSRA 2026.

Image from: PSRA 2026: 45,735 calon lulus, 7,869 raih keputusan cemerlang Mumtaz
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad mengumumkan keputusan peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA) Jabatan Agama Islam Selangor 2026 di dewan Orkid, Dewan Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 19 November 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata pihaknya akan memperkenalkan pendekatan baharu pendidikan menerusi Globalisasi Pentaksiran Pendidikan Islam bermula tahun depan.

Menurutnya, inisiatif tersebut memberi penekanan kepada pembangunan kerangka pentaksiran pendidikan Islam abad ke-21, pengukuhan sistem penjaminan kualiti pentaksiran serta pengenalan kelayakan pendidikan Islam yang lebih meluas.

“Pendekatan tersebut turut memberi perhatian kepada penilaian yang lebih menyeluruh, bukan sahaja dari aspek penguasaan ilmu, malah merangkumi aplikasi, kemahiran berfikir, amalan, adab dan pembentukan sahsiah murid,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved