
KUALA LUMPUR: Siasatan bagi mengenal pasti punca kematian seorang penuntut kursus tempur pegawai muda di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Johor pada 15 Okt lepas masih berjalan.
Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata pihaknya akan mengumumkan hasil siasatan berkenaan apabila ia siap kelak.
“Pihak PULADA di bawah pengelolaan pemerintahan latihan Tentera Darat (TD) sedang buat siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca-punca kecederaan melibatkan 10 penuntut (termasuk seorang daripada mereka yang telah meninggal dunia).
“TD memandang serius pelaksanaan setiap bentuk latihan atau kursus di setiap pusat latihan. Jadi, ada kemungkinan TD akan melihat keperluan untuk mengkaji semula pelaksanaan latihan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Perbarisan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-30 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Muhammad Hafizuddeain berkata kursus latihan platun di PULADA dalam memberikan kekuatan dan ketahanan mental dan fizikal serta latihan asas lain bagi setiap pegawai dalam TD sememangnya mencabar, namun langkah-langkah pencegahan turut diambil bagi mengelak kecederaan dalam kalangan pelatih.
“Memang latihannya mencabar. Namun, para pegawai atau penuntut minum air secukupnya. Memastikan diri mereka rehat sebaiknya dengan waktu rehat diberikan,“ katanya.
Sebelum ini, media melaporkan 10 penuntut dikejarkan ke hospital dipercayai akibat mengalami simptom strok haba ketika menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar PULADA pada 13 Okt.
Tiga daripada peserta berkenaan dirujuk ke Hospital Sultan IsmaiI kerana memerlukan rawatan rapi, manakala tujuh peserta dihantar ke Hospital Kota Tinggi, bagaimanapun seorang daripada mereka iaitu Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar meninggal dunia pada 14 Okt.
Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain berkata mengikut senarai yang telah dibuat, aset-aset yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini dijangka diperoleh tahun hadapan, berpandukan Pelan Pembangunan Keupayaan Strategik Tentera Darat (Army 4nextG) 2021-2050.
“TD telah mendapat peruntukan belanjawan yang lebih baik untuk tahun hadapan berbanding tahun ini dalam konteks perbelanjaan pembangunan dan mengurus dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan baru-baru ini.
“Aset-aset telah ada dalam senarai berpandukan Pelan Army 4nextG 2021-2050. Kita tidak akan beli secara semberono, kita buat perolehan mengikut keupayaan yang ingin kita bangunkan selaras dengan kerangka tindakan yang kita ada,“ katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas mengumumkan peruntukan RM19.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF), meningkat berbanding RM17.37 bilion pada 2023. -Bernama
