PTPTN Bantu Pelajar UMK Melalui Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin 

LocalBusiness & Finance
17 Oct 2024 • 4:29 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

image is not available

PTPTN Bantu Pelajar UMK Melalui Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin

1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dengan melaksanakan pelbagai inisiatif serta program berimpak tinggi untuk kebajikan para pelajar khususnya peminjam PTPTN. Justeru, inisiatif melalui program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin yang mula dilaksanakan pada tahun 2022 diteruskan pada tahun ini untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

2. Pada hari ini, penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah diadakan di Dewan Keusahawanan UMK yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBhg. Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak, Naib Canselor UMK, YBhg. Dato’ Norasni Ayob, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN dan Encik Hamdan Razali, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kelantan.

3. PTPTN telah memperuntukkan sebanyak RM66,000.00 kepada 132 orang pelajar di UMK yang merupakan peminjam PTPTN daripada golongan kurang berkemampuan. Setiap pelajar yang layak menerima bantuan berjumlah RM500.00 secara one off dan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar. Pelaksanaan program ini juga adalah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan UMK bagi memastikan penerima adalah daripada kumpulan sasaran yang layak.

image is not available

4. Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Dalam usaha meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang, PTPTN telah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi seperti program endowment yang membolehkan PTPTN menerima dana daripada pelbagai pihak untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan. Justeru, Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan bagi meringankan beban kewangan pelajar sepanjang pengajian di universiti.”

5. “Saya berharap bantuan ini akan memberi sinar kepada para pelajar untuk terus mencipta kejayaan hebat dalam akademik dan sahsiah, menjadi pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan yang cemerlang serta menjadi kebanggaan ibu dan ayah. Ini sekali gus akan membantu para pelajar untuk mendapat pekerjaan yang baik serta dapat mengubah nasib keluarga setelah tamat pengajian bagi menikmati kehidupan yang lebih selesa. ” tambah beliau lagi.

6. Terdahulu pada 15 Julai 2024, PTPTN melalui program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin telah menyalurkan bantuan kepada 85 pelajar yang layak di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru dengan jumlah peruntukan berjumlah RM42,500.00.

7. PTPTN yang ditubuhkan pada tahun 1997 telah diamanahkan untuk menyediakan pinjaman pendidikan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT tempatan sama ada awam atau swasta yang diiktiraf oleh kerajaan. Selama 27 tahun penubuhannya, peranan dan jasa PTPTN telah melahirkan ramai modal insan yang berpendidikan dan menyumbang kepada pembangunan negara. PTPTN akan terus komited sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara dalam membantu meningkatkan modal insan negara selari moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda.