PTPTN Catat Kutipan Simpan SSPN Lebih RM220 Juta Menerusi BMS 2025

LocalPersonal Finance
24 Nov 2025 • 11:52 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

PTPTN Catat Kutipan Simpan SSPN Lebih RM220 Juta Menerusi BMS 2025

Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah berlangsung mulai 26 September hingga 2 November 2025 telah mencatat kejayaan dengan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM251.44 juta atau 114.30% berbanding sasaran awal sebanyak RM220 juta.

Pencapaian ini mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia mengenai kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan tinggi anak-anak.

BMS merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN sejak tahun 2018 bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau superhero kepada anak-anak dengan membuat perancangan kewangan.

Tahun 2025 merupakan tahun kelapan penganjuran BMS bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dan pertandingan telah diadakan yang disertai oleh ibu bapa serta anak-anak dari pelbagai lapisan masyarakat.

Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Penganjuran BMS 2025 merupakan manifestasi iltizam PTPTN selaku agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh usaha perancangan kewangan jangka panjang demi kelangsungan pendidikan tinggi negara.

Pencapaian terimaan deposit Simpan SSPN yang melebihi sasaran semasa program ini membuktikan keberkesanan strategi yang telah dirancang serta sokongan padu daripada masyarakat.

Perkara ini turut mencerminkan tahap kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa terhadap keperluan perancangan kewangan yang lebih awal bagi menjamin masa depan pendidikan anak-anak selaras dengan aspirasi melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing.”

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh masyarakat Malaysia atas komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan dalam membudayakan amalan menabung dengan memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan utama. Saya juga menyeru Kerajaan Negeri, agensi kerajaan serta badan korporat dan swasta untuk menjadikan akaun Simpan SSPN sebagai pilihan utama bagi agihan bantuan kepada masyarakat. PTPTN akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif dan program berimpak tinggi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penabungan demi menjamin akses pendidikan tinggi yang lebih terancang dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman pendidikan,” tambah beliau lagi.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit. Antaranya insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit bagi simpanan RM1,000 dan ke atas, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.

Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

The post PTPTN Catat Kutipan Simpan SSPN Lebih RM220 Juta Menerusi BMS 2025 appeared first on Siakap Keli.