PTPTN rancang lantik perunding hutang kutip tunggakan

LocalBusiness & Finance
24 Feb 2025 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
PTPTN sedia mempertimbangkan untuk melantik agensi perunding hutang bagi mengutip tunggakan bayaran RM10.86 bilion dari peminjam.

PUTRAJAYA - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia mempertimbangkan untuk melantik agensi perunding hutang bagi mengutip tunggakan bayaran RM10.86 bilion dari peminjam.

Menerusi maklum balas kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), PTPTN memaklumkan pelaksanaan perkhidmatan agensi perunding hutang itu bermula tahun ini.

Menurut agensi itu, PTPTN juga telah melaksanakan penguatkuasaan semula bayaran balik pinjaman secara berperingkat bermula 1 Ogos tahun lalu.

"Sehingga 30 November 2024, terdapat pengurangan 5.9 peratus tunggakan pinjaman RM640.09 juta daripada RM10.853 bilion yang melibatkan 1.20 juta peminjam bagi baki tunggakan pinjaman sehingga tahun 2023," katanya.

Sementara itu, dalam maklum balas yang diterima LKAN pada 10 Januari lalu, PTPTN telah mewujudkan kerjasama dengan rakan strategik, iaitu agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta majikan swasta.

Melalui kerjasama strategik berkenaan, PTPTN telah berjaya meningkatkan jumlah bayaran balik pinjaman berjumlah RM120.10 juta sehingga 31 Disember 2024.

Terdahulu Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, tunggakan bayaran balik pinjaman meningkat dari tahun 2019 hingga 2023.

Ia melibatkan RM10.853 bilion oleh 1.2 juta peminjam sehingga 31 Disember 2023.