PTPTN, UDA salur RM240,000 bantu 1,200 pelajar

LocalBusiness & Finance
20 May 2026 • 11:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PTPTN, UDA salur RM240,000 bantu 1,200 pelajar
Norliza (lima dari kanan), Samsuri (lima dari kiri) dan Farizul Zainudin (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan Program Sinar Kasih UDA Cares - PTPTN (SAKURA).
Image from: PTPTN, UDA salur RM240,000 bantu 1,200 pelajar
Penerima Sumbangan Program Sinar Kasih UDA Cares - PTPTN (SAKURA) bergambar bersama tetamu jemputan.
Image from: PTPTN, UDA salur RM240,000 bantu 1,200 pelajar
MUHAMMAD DARWISYH HAIQAL
Image from: PTPTN, UDA salur RM240,000 bantu 1,200 pelajar
MUHAMMAD FAHMI
Image from: PTPTN, UDA salur RM240,000 bantu 1,200 pelajar
NIZZATUL HANIS

NIBONG TEBAL - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh sinergi strategik menerusi pelaksanaan Program Sinar Kasih UDA Cares - PTPTN (SAKURA) membabitkan dana berjumlah RM240,000.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, menerusi program berkenaan, UDA menyalurkan sumbangan wakalah zakat kepada 1,200 pelajar asnaf dari Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti terpilih seluruh negara di mana setiap orang menerima RM200 dikreditkan melalui akaun Simpan SSPN Prime.

Menurutnya, tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut merupakan kesinambungan kepada kolaborasi strategik dimeterai antara kedua-dua organisasi sejak 2024 selaras aspirasi bersama memperkasa agenda pendidikan tinggi negara di samping membudayakan amalan menabung serta perancangan kewangan pendidikan dalam kalangan masyarakat.

"Semua pelajar yang menerima sumbangan daripada UDA pada hari ini, diharapkan dapat memanfaatkan sumbangan tersebut sebaiknya ke arah kebaikan. Setelah tamat pengajian kelak, jangan terburu-buru menutup akaun Simpan SSPN kerana simpanan ini bukan sahaja menawarkan dividen yang kompetitif, malah turut menyediakan pelbagai manfaat lain untuk jangka masa panjang.

“Teruskan membuat simpanan, sekurang-kurangnya RM30 atau RM50 sebulan atau mengikut kemampuan masing-masing kerana Simpan SSPN membolehkan anda terus menabung sehingga usia 69 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Sumbangan Sakura di Dewan Auditorium Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) kepada 100 penerima di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Dr Shamsuri Abdullah; Ketua Pegawai Kewangan UDA Holdings Berhad, Farizal Zainudin; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya.

**media[3526600]**

Dalam masa sama, Norliza turut mengingatkan penerima supaya memanfaatkan sumbangan dengan baik.

"Penubuhan PTPTN dahulu adalah untuk memastikan tidak ada pelajar tercicir untuk menyambung pelajaran disebabkan masalah kewangan. Jika kita dengar zaman dulu, ibu bapa terpaksa bergolok bergadai, meminjam dan menjual tanah untuk membiayai kos pengajian anak dapat masuk universiti kerana tidak ada wang.

“Jadi di situlah lahirnya PTPTN untuk membantu anak-anak menyambung pelajaran tanpa memikirkan masalah kewangan," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Norliza turut mengingatkan agar peminjam PTPTN tidak culas membuat bayaran balik pinjaman setelah tamat pengajian bagi meneruskan kesinambungan fungsi organisasi itu membantu pelajar lain pada masa hadapan.

Beliau dalam masa sama memaklumkan, Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Beliau berkata, sempena Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI).

Katanya, pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga.

Jelasnya, PTPTN sebagai agensi bawah KPT terus komited melaksanakan pelbagai kerjasama strategik dan inisiatif inklusif dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya bagi golongan asnaf serta B40 demi menjamin kelangsungan pendidikan anak-anak Malaysia.

Pelajar B40 hargai sumbangan SAKURA

Sementara itu, sumbangan SAKURA membawa sinar baharu kepada pelajar asnaf dan golongan B40 yang berdepan cabaran kewangan sepanjang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi (IPT).

**media[3526602]**

Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris untuk Profesional, Nizzatul Hanis Mohd Nashrol Hisham, 23, dari Tasek Gelugor, berkata bantuan itu sedikit sebanyak membantu memenuhi keperluan pembelajaran selain menjadi suntikan semangat untuk terus mencapai cita-citanya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Bagi pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Muhammad Fahmi I Masdar, 21, dari Kota Kinabalu, bantuan tersebut mampu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pelajar B40.

**media[3526599]**

“Kami amat menghargai bantuan ini kerana ia sangat diperlukan oleh pelajar B40 seperti kami yang berdepan cabaran besar untuk meneruskan pengajian.

“Kami memerlukan sokongan kewangan tambahan bagi membeli peralatan pembelajaran seperti komputer riba dan perisian terkini yang selari dengan keperluan pendidikan masa kini. Kemudahan di IPT pula terhad kerana jumlah pelajar yang ramai,” katanya.

**media[3526601]**

Sementara itu, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Muhammad Darwisyh Haiqal Mohd Jiffri, 23, dari Selangor, berkata sumbangan SAKURA boleh dimanfaatkan untuk membeli komponen projek tahun akhir atau disimpan dalam akaun Simpan SSPN.

Menurutnya, projek tahun akhir memerlukan penggunaan perisian dan perkakasan khusus yang melibatkan kos lebih tinggi berbanding kursus lain. Justeru, bantuan seperti itu memberi kelegaan kepada pelajar serta membantu memastikan kelancaran pengajian sehingga tamat.