Puad Zarkashi, Dr Akmal harus hormat kebebasan kehakiman - Teresa

LocalPolitics
14 Aug 2024 • 11:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Muhamad Akmal (kiri), Mohd Puad, Teresa.

SHAH ALAM - Pemimpin UMNO perlu menghormati keputusan mahkamah dan kebebasan kehakiman berhubung pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama yang ditulis oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh itu menunjukkan mereka tidak menghormati keputusan mahkamah serta menyekat kebebasan bersuara.

“Keputusan itu mencerminkan pendirian tegas badan kehakiman negara terhadap kebebasan bersuara dan penerbitan.

“Mohd Puad dan Dr Muhamad Akmal harus menghormati kebebasan kehakiman dan keputusan mahkamah, bukannya terus menyeru kerajaan melanggar perintah mahkamah, dan cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian.

“Kita harus meninggalkan cara pemikiran lama yang penuh dengan perpecahan dan ketakutan, dan memandang sejarah dari sudut yang lebih terbuka dan rasional,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Rabu.

Pada 8 Disember 2022, kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama yang dihasilkan oleh Kuan Yau.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berkenaan yang sebelum ini diwartakan pada 2019 kerana kandungannya dikhuatiri boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Dalam pada itu, ujar Teresa, semua pihak perlu melupakan prejudis lalu dan terus melihat ke hadapan.

Menurutnya, mahkamah telah mengeluarkan penghakiman penuh yang jelas menyatakan bahawa buku tersebut tidak mengandungi kandungan hasutan seperti didakwa dalam akuan bersumpah Menteri Dalam Negeri.

“Hakim juga berpendapat bahawa ketidakpuasan hati seseorang atau kumpulan tidak boleh menyekat kebebasan bersuara seseorang.

“Walaupun Menteri Dalam Negeri tidak bersetuju dengan kandungan buku tersebut, termasuk tafsiran Kuan Yau terhadap sejarah, pandangan dunianya serta pandangannya mengenai isu semasa, terutama komik " Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama" China dan isu Xinjiang. Itu tidak cukup untuk menjadikannya sebagai buku terlarang,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa pihaknya masih menghormati pendirian mahkamah berhubung isu itu meskipun tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Jelas beliau, oleh sebab itu, pihaknya meminta agar kerajaan memohon semula semakan berhubung keputusan berkenaan memandangkan isu itu sensitif dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.

“Jika kami ni berfikiran autoritarian kamu pun tidak boleh duduk dan menjadi ahli parlimen di negara ini.

“Hormati hak majoriti penduduk negara ini sebelum kamu bercakap untuk menghormati hak kebebasan bersuara untuk kamu,” menurutnya.