
Ada kerosakan besar sedang berlaku, apabila sebuah bangsa yang pernah bercita-cita menjadi ‘Harimau Asia’ kini gagal menyediakan perkara paling asas untuk anak-anaknya iaitu maruah dan keselamatan dalam pendidikan.
Sekolah-sekolah kita sepatutnya menjadi tempat yang sama rata untuk anak kampung dan bandar duduk sebaris, sama-sama membina impian. Tetapi hari ini, terlalu banyak sekolah berubah menjadi simbol kegagalan nasional; tiada dana mencukupi, tidak cukup perlindungan dan terlalu sarat dengan politik murahan.
Masalahnya bukan kerana kita kekurangan bakat atau perikemanusiaan. Masalahnya ialah kerana kita telah menguburkan keduanya di bawah timbunan ego, propaganda, dan sandiwara politik.
Kepimpinan Bukan Tentang Imej, Tapi Keputusan
Apabila Fadhlina Sidek dilantik sebagai Menteri Pendidikan wanita pertama, rakyat menaruh harapan bahawa empati dan integriti akan digandingkan dengan ketegasan dan kecekapan. Namun, kepimpinan bukan sekadar untuk memecah rekod, tetapi tentang apa yang anda lakukan selepas itu.
Setahun berlalu dan kementerian ini nampaknya lebih sibuk mengejar persepsi berbanding prestasi. RM8.4 juta dihamburkan untuk pin bendera sementara sekolah usang menunggu masa untuk runtuh, perpustakaan menjadi muzium mengumpul habuk dan guru menadah simpati meminta bantuan. Itu bukan kesilapan bajet. Ia adalah pengkhianatan kerana tidak mendahulukan isu yang menjadi keutamaan.
Setiap murid di sekolah daif kini mendapat mesej jelas: imej lebih penting daripada isi dan patriotisme palsu lebih dihargai daripada kemajuan sebenar.
Malaysia tidak perlukan lebih banyak pin bendera di kolar. Malaysia perlukan guru yang dihormati, tandas yang tidak reput, dan sistem pendidikan yang berasaskan akal, bukan kosmetik.
Krisis Sebenar: Budaya ‘Menyapu Bawah Karpet’
Tragedi yang menimpa sekolah-sekolah kita seperti kes buli, serangan, bunuh diri, malah kematian bukan kejadian terpencil. Ia adalah tanda reputnya satu sistem yang menjadi tunjang kepada negara. Kita telah membiarkan budaya menunggu sebelum bertindak bermaharajalela, dan kementerian yang hanya bergerak apabila dihentam tajuk berita.
Apabila pegawai kanan mengaku kes disembunyikan ‘di bawah karpet’, itu bukan isu semantik, sebaliknya satu pengakuan kegagalan moral. Nyawa anak-anak kita bukan bahan untuk pengurusan krisis PR. Ia amanah suci, dan amanah itu kini telah dikhianati.
Sekolah sepatutnya tempat paling selamat di negara ini. Hakikat bahawa ia tidak lagi demikian adalah tamparan kepada seluruh kerajaan.
Jika kerajaan ini benar-benar percaya pada gagasan Madani; belas kasihan, maruah, dan integriti, maka buktikan ia di tempat paling asas: keselamatan anak-anak. Jangan hanya menabur janji di podium! Tunjukkan tindakan di bilik darjah, asrama dan lorong-lorong kecil di sekolah.
Berani Mengakui Kegagalan
Tiada pemimpin yang sempurna. Tetapi hanya pemimpin sejati yang berani berkata, “Saya salah.”
Malangnya, reaksi kementerian terhadap kritikan sering kali sama; defensif, menyalahkan orang lain, atau bersembunyi di sebalik kenyataan media yang hambar. Penjelasan tanpa perubahan hanyalah alasan.
Fadhlina Sidek masih ada masa untuk berubah, untuk berhenti berlakon dan mula bekerja. Masih ada waktu untuk beliau berhenti menulis kenyataan indah dan mula menghasilkan keputusan nyata.
Tetapi jika beliau tidak mampu melakukan semua ini, maka jalan terbaik adalah berundur secara bermaruah. Kementerian Pendidikan bukan gelanggang latihan bagi ahli politik yang ingin menimba pengalaman. Anak-anak kita tidak boleh dijadikan mangsa percubaan kepimpinan.
Harapan Hanya Akan Hidup Jika Kita Jujur
Malaysia tidak kekurangan tenaga pengajar hebat. Kita hanya mengurung mereka dalam sistem yang lumpuh. Kita mempunyai rakyat yang mahu membantu, sektor swasta yang bersedia menyumbang dan pertubuhan sivil penuh idea. Apa yang tiada ialah kepimpinan yang mampu menghimpunkan mereka.
Bayangkan jika kementerian melancarkan Pelan Pemulihan Sekolah Nasional: setiap sen ditumpukan kepada bacaan, kaunseling, latihan guru dan teknologi. Bayangkan sekolah diukur bukan berdasarkan jumlah majlis pelancaran, tetapi berapa ramai murid Tahun Tiga yang benar-benar boleh membaca.
Begitulah cara sebuah bangsa membina semula kepercayaan; bukan dengan slogan, tetapi dengan tindakan.
Anak-Anak Sedang Menilai
Kekayaan dan kuasa, sama ada dalam politik atau perniagaan, bukan anugerah, sebaliknya satu tanggungjawab teramat besar.
Anak-anak kita sedang memerhati. Mereka tahu bila pemimpin berbohong, bila orang dewasa mengambil jalan mudah dan bila ahli politik lupa tujuan asal mereka. Jika kita tidak memperbetulkan arah sekarang, mereka akan mewarisi bukan sekadar sistem pendidikan yang lemah tetapi kompas moral yang hilang arah.
Jawatan Menteri Pendidikan bukan batu loncatan politik. Ia adalah medan untuk masa depan bangsa dibentuk atau dimusnahkan.
Jadi, Puan Menteri, persoalannya jelas: Adakah anda mahu dikenang sebagai simbol kementerian yang mengurus kejatuhan, atau sebagai pemimpin yang mengubah haluan?
Soalan ini perlu dijawab dengan tulus dan jujur kerana seperti yang pernah diingatkan Einstein; melakukan perkara yang sama berulang kali sambil mengharapkan hasil berbeza bukan strategi; itu adalah kegilaan. - Getaran, 6 November 2025
