PUBG Mobile Tournament UNISEL 2022 dapat sambutan luar dugaan, bukti e-sukan kegilaan ramai

14 Jul 2022 • 5:49 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Fenomena sukan elektronik atau e-sukan yang menjadi kegilaan remaja hari ini dilihat semakin berkembang pesat seiring dengan kebangkitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

E-sukan juga merupakan industri dan sumber ekonomi baharu kepada individu yang meminati permainan video secara positif ini.

Nama-nama seperti Muhd Faris Zakaria (Soloz), Sopian Sultan (XK Penjahat) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo) adalah antara atlet e-sukan dan pemain profesional dalam permainan Mobile Legend dan juga PUBG Mobile.

Mereka mempunyai ramai pengikut di laman sosial seperti Facebook sehingga ada antaranya telah mencecah lebih dua juta followers.

Kini, anak-anak muda ini menjadi streamer sepenuh masa sebagai kerjaya dan membuktikan bahawa permainan video dalam talian bukan satu perkara yang tidak bermanfaat.

Memandangkan e-sukan menjadi kegilaan remaja masa kini, baru-baru ini pelajar subjek Sport Event Management Universiti Selangor (UNISEL), Shah Alam, Selangor telah menganjurkan PUBG Mobile Tournament UNISEL 2022 di dewan perkarangan luar Pro Canselor, UNISEL Shah Alam.

image is not available

Kejohanan yang julung kali diadakan itu telah menarik ratusan penyertaan daripada peminatnya namun hanya lima pasukan sahaja yang layak ke peringkat akhir.

Pengarah program, Zharif Razyn Khairuzzaman berkata, PUBG Mobile Tournament UNISEL 2022 yang berlangsung selama tiga hari telah diadakan secara dalam talian dan juga bersemuka (pertandingan akhir).

Tambahnya, sebanyak 32 pasukan bersaing secara serentak dan daripada jumlah tersebut, hanya 16 pasukan terbaik terpilih untuk berentap ke peringkat seterusnya.

Ujar Zharif Razyn lagi, cabaran demi cabaran telah dilalui oleh 16 pasukan tersebut dan pihak juri telah memilih lima pasukan terbaik dan terhebat untuk mara ke peringkat akhir.

image is not available

Rage Unleashed Clasicos muncul juara

Setelah mengharungi segala cabaran, akhirnya pasukan Rage Unleashed Clasicos diangkat sebagai juara dalam PUBG Mobile Tournament UNISEL 2022.

Pasukan yang dianggotai empat orang ahli itu telah membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM550 beserta hamper.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Nbs gc x Bauruz dan Rage Unleashed. Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM400 dan RM300 beserta hamper.

image is not available
Pasukan Nbs gc x Bauruz berjaya menduduki tempat kedua dalam pertandingan tersebut.

image is not available
Tempat ketiga pula menjadi milik Rage Unleashed.

Manakala tempat keempat dan kelima pula diberikan kepada pasukan Todak dan pasukan Bot God. Masing-masing membawa pulang RM200 dan RM150 serta hamper.

Dalam pada itu, Zharif Razyn melahirkan rasa syukur kerana kejohanan tersebut mendapat sambutan yang cukup hangat dalam kalangan penuntut universiti dan juga anak-anak muda yang lain.

image is not available
Pasukan Todak pula berada di tempat keempat dalam PUBG Mobile Tournament UNISEL 2022.

image is not available
Tempat kelima disandang oleh pasukan Bot God.

Dia berharap kejohanan sedemikian dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang e-sukan.

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok