johardy30/10/2026 - 10:41 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Public Bank Bhd meneruskan rancangan mengambil alih sepenuhnya anak syarikatnya yang disenaraikan di Hong Kong, Public Financial Holdings Ltd (PFHL), bernilai HK$734.75 juta (RM378.6 juta), meskipun syarikat itu berdepan rosot nilai muhibah yang besar sehingga berpotensi mencatat kerugian mencecah HK$2 bilion (RM1.03 bilion) tahun ini.
Dalam pengumuman bersama yang difailkan kepada Bursa Saham Hong Kong pada Jumaat, dengan salinannya turut dikemukakan kepada Bursa Malaysia, Public Bank dan PFHL mengesahkan pengedaran dokumen skim penswastaan serta sokongan penasihat kewangan bebas menjelang pengundian pemegang saham pada 23 November 2026.
Public Bank menawarkan HK$2.50 (RM1.29) sesaham untuk memperoleh baki 26.77% kepentingan dalam PFHL yang belum dimilikinya, sekali gus membuka laluan kepada pemilikan penuh dan penyahsenaraian syarikat itu daripada Bursa Saham Hong Kong.
Langkah itu menyusul amaran PFHL pada 16 Oktober lalu bahawa syarikat berkenaan dijangka mencatat kerugian selepas cukai antara HK$1.9 bilion (RM979 juta) hingga HK$2 bilion (RM1.03 bilion) bagi 2026, berbanding keuntungan HK$80 juta (RM41.2 juta) setahun sebelumnya, terutamanya disebabkan jangkaan rosot nilai muhibah berjumlah HK$1.964 bilion (RM1.01 bilion).
Rosot nilai tersebut berpunca daripada kadar faedah pasaran jangka panjang yang lebih tinggi serta unjuran aliran tunai jangka sederhana yang lebih lemah, sekali gus dijangka mengurangkan aset bersih disatukan PFHL kira-kira HK$1.80 (93 sen) sesaham.
Public Bank sebelum ini menjelaskan bahawa rosot nilai berkenaan tidak memberi kesan kepada operasi bank induk atau anak syarikatnya yang lain, namun berpotensi mengurangkan pendapatan dan aset bersih disatukan kumpulan masing-masing sebanyak empat sen sesaham.
Harga tawaran lebih tinggi 61% daripada harga pasaran
Tawaran tunai HK$2.50 (RM1.29) sesaham itu mewakili premium 61.29% berbanding harga dagangan terakhir PFHL sebelum cadangan penswastaan diumumkan pada 8 September lalu, tetapi pada diskaun 64.69% berbanding nilai aset bersih kira-kira HK$7.08 (RM3.65) sesaham setakat 30 Jun 2026.
Bagaimanapun, perbandingan nilai aset bersih itu dibuat berdasarkan kedudukan kewangan sebelum mengambil kira jangkaan rosot nilai muhibah yang bakal mengurangkan aset bersih PFHL dengan ketara.
Menurut pengumuman terbaharu itu, penasihat kewangan bebas, Somerley Capital Ltd, berpandangan cadangan penswastaan tersebut adalah adil dan munasabah kepada pemegang saham yang tidak mempunyai kepentingan dalam urus niaga berkenaan serta mengesyorkan mereka mengundi menyokongnya.
Sokongan itu diberikan ketika Public Bank meneruskan proses mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi menyatukan sepenuhnya pemilikan operasi perbankannya di Hong Kong.
Kepentingan pengarah halang penubuhan jawatankuasa bebas
Urus niaga itu akan diteruskan tanpa jawatankuasa lembaga pengarah bebas selepas kesemua enam pengarah bukan eksekutif dan pengarah bebas bukan eksekutif PFHL dianggap mempunyai kepentingan dalam cadangan berkenaan berikutan pertindihan jawatan, pegangan saham serta hubungan lain dengan Public Bank dan anak syarikatnya.
Antara mereka ialah Quah Poh Keat, yang turut bertindak sebagai salah seorang wasi bersama harta pusaka mendiang pengasas Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow, dengan harta pusaka tersebut mempunyai kepentingan langsung dan tidak langsung kira-kira 20.73% dalam modal saham terbitan Public Bank pada tarikh rujukan terkini.
Lima pengarah lain yang dikenal pasti ialah Lai Wan, Lee Huat Oon, Lee Chin Guan, Lim Chao Li dan Phe Kheng Peng, manakala pemegang saham minoriti dinasihatkan meneliti penilaian Somerley Capital bersama surat lembaga pengarah dan dokumen penerangan sebelum membuat keputusan.
Pemegang saham yang tidak mempunyai kepentingan dalam urus niaga itu dijadual mengundi pada mesyuarat yang diperintahkan mahkamah di Hong Kong pada 23 November, diikuti mesyuarat agung khas bagi mempertimbangkan penyusunan semula modal berkaitan.
Tertakluk kepada kelulusan pemegang saham, pengesahan mahkamah dan pemenuhan syarat lain, saham PFHL dijangka didagangkan buat kali terakhir pada 24 November sebelum penyahsenaraian berkuat kuasa pada 9 Disember, manakala pembayaran tunai kepada pemegang saham yang layak dijadual dihantar selewat-lewatnya pada 16 Disember 2026. - DagangNews.com

