PublicInvest nilai saham Smart Asia Chemical bakal disenarai di Pasaran ACE pada 49 sen
azan
14/05/2024 - 14:35
KUALA LUMPUR 14 Mei - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) memberi harga sasaran pada 49 sen terhadap Smart Asia Chemical Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Firma penyelidikan itu yang tidak mempunyai penarafan untuk saham itu berkata, kumpulan itu dinilai dengan pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2025 (FY25) sebanyak 14 kali.
Katanya, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 22.5% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 40 sen.
"IPO itu dijangka mengumpul kira-kira RM37.4 juta daripada terbitan 93.5 juta saham baharu dengan 72.2% dan 13.4% daripada hasil itu akan diperuntukkan untuk penubuhan kilang baharu serta pembelian mesin warna pintar.
"Kumpulan itu juga sedang dalam usaha mewujudkan kemudahan pembuatan baharu bagi mengembangkan kapasiti dan menyelaraskan operasi.
"Setelah siap pembinaan, kumpulan itu merancang untuk memasang sistem pewarnaan industri dan sistem pengeluaran cat automatik di kilang baharu, dengan penyepaduan warna automatik perisian pemadanan untuk mengautomasikan lagi aktiviti pembuatan selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual," katanya dalam satu nota kajian.
PublicInvest berkata, pertumbuhan kumpulan itu akan didorong oleh persediaan kilang baharu dengan pelaksanaan sistem perindustrian automatik dan penyediaan lebih banyak mesin warna pintar dan peningkatan usaha pemasaran.
Katanya, kumpulan itu juga menyediakan perkhidmatan pengeluar reka bentuk asal (ODM) cat hiasan, salutan pelindung serta bahan kimia pengikat dan salutan untuk pemilik jenama pihak ketiga.
"Sehingga 5 April 2024, Smart Asia Chemical mempunyai sembilan pemborong dan 937 pengedar di seluruh Malaysia, bersama-sama dengan 14 pengedar sah di luar negara," katanya. - DagangNews.com

