PublicInvest positif MoU antara Fiamma, Modena kembangkan keupayaan tawar produk lebih kompetitif
diyana
07/06/2023 - 09:52
KUALA LUMPUR 7 Jun - Public Investment Bank (PublicInvest) positif terhadap memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh Fiamma Holdings Bhd (Fiamma) dengan Modena Global Limited (Modena).
Firma penyelidikan itu berkata kerjasama tersebut membolehkan Fiamma mengembangkan keupayaannya untuk menawarkan produk yang lebih kompetitif.
“Sementara menunggu perkembangan lanjut daripada MoU ini, kami mengekalkan anggaran ketika ini.
“Kami mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas Fiamma dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.00 sesaham,” katanya dalam nota hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Fiamma berkata ia telah memeterai MoU dengan Modena untuk menjalin kerjasama bagi Fiamma mengimport dan mengedarkan produk elektrik rumah Modena di Malaysia dan Singapura.
Selain itu, Modena akan mengeluarkan produk di bawah jenama pengeluar peralatan asli (OEM).
Menurut PublicInvest, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk memudahkan Fiamma meneliti pengimportan dan pengedaran produk elektrik isi rumah Modena di Malaysia dan Singapura serta memudahkan Modena mengeluarkan produk di bawah jenama OEM.
MoU tersebut sah selama 12 bulan dan boleh diperbaharui 12 bulan lagi, tetapi ia tidak mengikat secara sah ke atas mana-mana pihak sehingga perjanjian muktamad berkuat kuasa.
Modena, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong mengeluarkan peralatan penyejukan, memasak dan pembersihan, penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, bateri dan penyelesaian mobiliti.
Modena telah memenangi pelbagai anugerah daripada syarikat penyelidikan antarabangsa GfK sejak 2010 sebagai pilihan pengguna nombor satu dalam kategori produk hob terbina dalam, oven terbina dalam, periuk berdiri bebas dan hud ekzos, dengan lebih separuh bahagian pasaran di Indonesia.
Saham Fiamma pagi ini dibuka pada 94.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM501.1 juta. -DagangNews.com

