amree04/06/2026 - 18:01 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Jun – PUC Berhad memeterai lembaran terma mengikat dengan seorang usahawan tempatan, Tham Lih Chung bagi melupuskan 100% kepentingan dalam anak syarikatnya, PUC Capital Sdn Bhd.
Ia melibatkan penjualan sejumlah 20 juta saham biasa dengan harga tunai nominal RM1, namun nilai pertimbangan efektif adalah RM680,000 diselesaikan melalui pelepasan sebahagian hutang syarikat.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada rasional usaha penyusunan semula kumpulan berkenaan untuk mengeluarkan mana-mana anak syarikat yang perniagaan dikendalikannya mengalami kerugian.
"PUC Capital mencatatkan liabiliti bersih sebanyak RM2.53 juta dengan jumlah hutang daripada pihak pembiaya pula mencecah RM20.77 juta setakat 31 Disember 2025," maklum PUC kepada Bursa Malaysia.
Melalui pelupusan itu, kumpulan tersebut bakal dilepaskan sepenuhnya daripada komitmen jaminan korporat berjumlah sehingga RM50 juta yang diberikan kepada pembiaya PUC Capital sebelum ini.
Lih Chung, juga merupakan pihak pengendali Alevate Capital Sdn Bhd, iaitu penghutang tunggal terbesar PUC Capital dengan baki tunggakan RM7.22 juta, mewakili 54% daripada jumlah hutang.
Sehubungan rancangan pelupusan ini, baki hutang antara syarikat berjumlah RM4.433 juta akan dinovasikan kepada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PUC, Cheong Chia Chou.
PUC dijangka mencatatkan anggaran keuntungan daripada penyahpenyatuan sebanyak RM680,000, dan turut menegaskan pelupusan ini tidak menyebabkannya tergolong dalam status Nota Amalan 3 (GN3).
"Pelupusan yang melibatkan entiti pemberi pinjaman wang berlesen ini dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa," katanya. - DagangNews.com






