“Pulanglah ke Malaysia” -TPM rayu pelajar di New Zealand berkhidmat di tanah air

LocalPolitics
17 Jul 2025 • 7:29 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merayu agar pelajar serta tenaga profesional Malaysia di luar negara, khususnya pelajar di New Zealand, kembali pulang berbakti kepada tanah air selepas tamat pengajian.

image is not available

Pelajar di New Zealand harap dapat berkhidmat di Malaysia

Memetik laporan daripada Berita Harian, Ahmad Zahid menyatakan bahawa Malaysia masih memerlukan ramai tenaga mahir dalam bidang profesional seperti kejuruteraan, undang-undang dan perakaunan, namun jumlah yang ada ketika ini belum mencukupi.

“Justeru, saya minta baliklah ke negara kita terutama dalam bidang kejuruteraan atau profesional lain… dalam bidang undang-undang dan perakaunan pun pulanglah ke Malaysia.
“Saya tahu gaji di Malaysia rendah berbanding New Zealand, tapi kena ingat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” ujarnya.

image is not available

Pelajar di New Zealand beri cadangan agar ditawar pekerjaan selepas pulang nanti

Beliau turut berkongsi pengalamannya menerima satu cadangan daripada pelajar Malaysia ketika melawat Victoria University Wellington (VUW), agar semua pelajar luar negara ditawarkan pekerjaan sekembalinya ke tanah air.

“Saya dapat satu kertas kerja (yang mencadangkan) semua pelajar-pelajar (di luar negara) mesti tandatangan satu perjanjian supaya balik (Malaysia) nanti diberi pekerjaan.
Saya (balas) kata siapa nak bagi kerja? (Jadi) Pesuruhjaya Tinggi (Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, kata) kita bincang lain,” katanya.

image is not available

Artikel lain: Buka 1,300 peluang pekerjaan, Malaysia sedia perluas pelaburan ke New Zealand!

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Mesra bersama lebih 250 komuniti Malaysia di New Zealand, yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Mazita Marzuki.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan sebanyak NZD100,000 (RM251,440) kepada Rumah Malaysia, iaitu Kedutaan Malaysia di New Zealand, sebagai sokongan terhadap aktiviti komuniti di sana.

Nasihat sesuaikan diri dengan budaya persekitaran

Selain itu, beliau turut menitipkan nasihat agar para pelajar tidak hanya bergantung kepada ilmu dalam kelas semata-mata, sebaliknya bijak menyesuaikan diri dan mempelajari budaya persekitaran.

“Yang penting, saya nasihatkan jangan hanya belajar apa dalam kelas atau kuliah, tetapi belajar daripada keadaan sekeliling. Kena asimilasi dengan komuniti tempatan. Kena juga belajar budaya mereka khususnya budaya Maori.”

Rayuan ikhlas itu disampaikan agar anak muda di perantauan tidak melupakan tanggungjawab terhadap tanah air, dan bersama membantu membina masa depan negara.

Sumber: Berita Harian (Fahmy A Rosli)