haziq06/01/2026 - 12:17 Pulau Perhentian Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Jan – Pulau Perhentian kini muncul sebagai destinasi pilihan antarabangsa terbaharu di Malaysia, menurut kedudukan New Horizons terkini yang dikeluarkan oleh platform pelancongan digital, Agoda.
Dalam laporan tahunan itu, Agoda turut mendedahkan Sitiawan sebagai destinasi domestik paling trending manakala Pulau Phu Quoc, Vietnam pula muncul sebagai antara destinasi luar negara yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelancong Malaysia.
Menurut Agoda, kedudukan New Horizons membandingkan ranking tempahan penginapan bagi dua tahun sebelumnya untuk mengenal pasti destinasi yang mencatatkan peningkatan paling ketara dalam perjalanan antarabangsa di Asia.
Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, Fabian Teja berkata, pelancong kini semakin cenderung meneroka destinasi di luar lokasi tumpuan utama.
“Pelancong hari ini mencari pengalaman yang lebih autentik, berasaskan alam semula jadi dan kaya dengan budaya. Destinasi seperti Pulau Perhentian, Sitiawan dan Phu Quoc mencerminkan perubahan citarasa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Agoda komited membantu pelancong menemui destinasi baharu dengan menawarkan nilai terbaik merangkumi penginapan, penerbangan serta aktiviti melalui satu platform yang mudah digunakan.
Pulau Perhentian, menurut Agoda, meningkat ke kedudukan ke-14 pada 2025 berbanding ke-16 pada 2024 sekali gus mencerminkan tarikan yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong antarabangsa.
Destinasi itu terkenal dengan air laut jernih, kehidupan marin yang kaya serta aktiviti snorkeling dan selam skuba, selain pantai yang tenang dan hutan hijau untuk pencinta alam.

Tua Pek Kong Temple, Sitiawan
Sementara itu, Sitiawan muncul sebagai destinasi domestik paling popular, melonjak ke kedudukan ke-43 pada 2025 daripada ke-48 pada 2024, menunjukkan peningkatan minat dalam kalangan pelancong tempatan.
Bandar tersebut terkenal dengan makanan laut, warisan budaya serta tarikan kuil tradisional dan keramahan komuniti setempat.

Phu Quoc Island, Vietnam
Bagi pelancong Malaysia yang melancong ke luar negara, Pulau Phu Quoc mencatatkan peningkatan ketara apabila naik ke kedudukan ke-21 pada 2025 berbanding ke-34 pada 2024.
Menurut Agoda, destinasi itu menawarkan gabungan pantai tropika, resort mewah, pasar malam yang meriah serta makanan laut segar.
Dalam senarai destinasi Asia yang sedang meningkat secara keseluruhan, Sapa di Vietnam mendahului sebagai destinasi paling pesat berkembang, diikuti oleh Okayama (Jepun), Bandung (Indonesia), Matsuyama (Jepun) dan Takamatsu (Jepun).
Agoda berkata pelancong yang merancang percutian bagi 2026 digalakkan meneroka tawaran nilai terbaik di platform itu yang merangkumi lebih 6 juta penginapan percutian, lebih 130,000 laluan penerbangan, serta lebih 300,000 aktiviti dan pengalaman.
Tawaran terkini boleh didapati melalui aplikasi Agoda atau laman web agoda.com/deals. - DagangNews.com
