Pulau Pinang catat aliran masuk pelaburan RM71.9 bilion pada 2023, tertinggi di Malaysia
diyana
15/03/2024 - 15:56
KUALA LUMPUR 15 Mac - Pulau Pinang mencatatkan aliran masuk pelaburan berjumlah RM71.9 bilion pada 2023, tertinggi di Malaysia, menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Beliau berkata, pertumbuhan luar biasa tersebut didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) yang menyumbang RM61.7 bilion atau 85.8% daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri itu.

"Angka tersebut secara tidak langsung menggariskan keyakinan teguh pelabur antarabangsa terhadap potensi negeri ini dan peluang menarik yang ditawarkan secara menyeluruh,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau, yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi, berkata menerusi kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), negeri ini berjaya memudahkan pelaburan RM13.67 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 14,000 peluang pekerjaan pada tahun lepas.
Beliau turut berkongsi bahawa Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC) yang dibangunkan oleh NCIA di Bayan Lepas dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
NTIC akan menjadi platform utama dalam menarik pelaburan berkaitan teknologi ke NCER khususnya di Pulau Pinang menerusi kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, syarikat multinasional serta ahli akademik, katanya.
Beliau berkata, NTIC merupakan inisiatif 'Kampus Tunggal' yang memfokuskan kepada aktiviti berkaitan penyelidikan, reka bentuk, teknologi, inovasi dan pengkomersialan. - DagangNews.com

