Pulau Pinang catat prestasi konsisten SPM 2025

Local
31 Mar 2026 • 12:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau Pinang catat prestasi konsisten SPM 2025
Mohammad Dziauddin (tengah) bersama pelajar SPM Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jambul selepas mengumumkan keputusan SPM 2025 pada Selasa.

GEORGE TOWN – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Pulau Pinang menunjukkan prestasi yang konsisten apabila Gred Purata Negeri (GPN) kekal pada 4.39 sama seperti tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, pencapaian itu mencerminkan tahap ketahanan dan kesungguhan calon dalam menghadapi cabaran sepanjang tempoh pembelajaran.

Menurutnya, daripada keseluruhan 17,933 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menduduki peperiksaan, seramai 16,545 layak memperoleh sijil, bersamaan 92.26 peratus.

“Peratus kelulusan mencatat sedikit penurunan iaitu 1.41 peratus berbanding 93.67 peratus pada 2024 namun bilangan calon yang layak sijil sebenarnya meningkat,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Analisis Keputusan SPM 2025 Pulau Pinang di JPN Pulau Pinang pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohammad Dziauddin berkata, seramai 25 calon berjaya meraih keputusan cemerlang semua A+ berbanding hanya 19 calon pada tahun sebelumnya.

"Bagi pencapaian keseluruhan A (A+, A dan A-), jumlah calon adalah 725 orang, sedikit berkurangan berbanding 800 orang pada 2024.

“Sebanyak 30 sekolah turut mengekalkan pencapaian 100 peratus layak sijil, sama seperti tahun lalu,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai prestasi mata pelajaran, beliau berkata, daripada 66 subjek yang ditawarkan, 41 menunjukkan peningkatan prestasi manakala 24 mengalami penurunan dan satu lagi kekal.

“Pendidikan Islam mencatat peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 0.73 mata, sementara Bahasa Melayu merekodkan penurunan 0.28 mata,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar didapati sedikit melebar kepada 1.33 mata berbanding 1.25 mata sebelumnya.

View Original Article