Pulau Pinang pengeksport utama Malaysia Jun 2024, diikuti Johor, Selangor, Sarawak dan KL - DOSM

26 Jul 2024 • 12:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pulau Pinang pengeksport utama Malaysia Jun 2024, diikuti Johor, Selangor, Sarawak dan KL - DOSM

herman

26/07/2024 - 12:07


KUALA LUMUR 26 Julai - Sebanyak 82.9% daripada eksport Malaysia pada Jun 2024 yang bernilai RM126 bilion disumbangkan oleh lima negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 34.2 peratus, diikuti oleh Johor (20.6%), Selangor (17.3%), Sarawak (6.5%) dan Kuala Lumpur (4.2%).

"Peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM2 bilion), Terengganu (+RM1.3 bilion), Perak (+RM767 juta), Selangor (+RM403.1 juta), Sarawak (+RM397.6 juta), Kedah (+RM337 juta), Kelantan (+RM122.1 juta) dan Johor (+RM112.2 juta).

"Walau bagaimanapun, nilai eksport menurun di W.P. Labuan sebanyak RM1.7 bilion, Pahang (-RM1.2 bilion), Melaka (-RM312.0 juta), Negeri Sembilan (-RM206.7 juta), Sabah (-RM71.6 juta), W.P. Kuala Lumpur (-RM54.4 juta) dan Perlis (-RM23.6 juta)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM237.8 bilion pada Jun 2024 dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM126.0 bilion dan RM111.8 billion.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Dr. Mohd Uzir memaklumkan import pada bulan Jun 2024 meningkat RM16.9 bilion (+17.8%) berbanding bulan yang sama pada 2023.

Katanya, peningkatan import disebabkan import lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM4.6 bilion), Pulau Pinang (+RM4.1 bilion), Selangor (+RM3.3 bilion), Kedah (+RM2.3 bilion), W.P. Kuala Lumpur (+RM1.5 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.2 bilion), Terengganu (+RM101.4 juta), Perlis (+RM82.3 juta) dan Kelantan (+RM36.6 juta).

"Walau bagaimanapun, nilai import jatuh di Melaka sebanyak RM3.5 billion, Sarawak (-RM264.5 juta), Perak (-RM249.1 juta), Sabah (-RM170.6 juta), W.P. Labuan (-RM110.5 juta) dan Pahang (-RM5.2 juta)," jelasnya.

Beliau berkata, Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 25.5%, diikuti oleh Johor (23.3%), Pulau Pinang (20.9%), W.P. Kuala Lumpur (7.6%) dan Kedah (6.3%). - DagangNews.com