Pulau Pinang terima kelulusan 280 projek Persekutuan bernilai RM33.2 bilion

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 12:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pulau Pinang terima kelulusan 280 projek Persekutuan bernilai RM33.2 bilion Image from: Pulau Pinang terima kelulusan 280 projek Persekutuan bernilai RM33.2 bilion liza19/10/2026 - 12:51 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt – Sebanyak 280 projek pembangunan Persekutuan di Pulau Pinang dengan kos keseluruhan RM33.22 bilion diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu merangkumi 44 projek baharu dan 236 projek sambungan yang diluluskan di bawah Belanjawan MADANI 2027.

 

Beliau berkata bagi 2027, sebanyak RM2.68 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek pembangunan berkenaan.

 

“Daripada keseluruhan projek yang diluluskan, 44 projek baharu melibatkan kos RM578.29 juta, dengan peruntukan sebanyak RM63.71 juta bagi 2027.

 

“Kelulusan itu turut merangkumi empat projek keutamaan negeri yang dikemukakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan pada Februari 2026,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

 

Empat projek keutamaan negeri diluluskan

Empat projek berkenaan melibatkan kos keseluruhan RM96.95 juta, dengan peruntukan RM2.2 juta bagi 2027.

Projek terbabit ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang Ubi di Daerah Seberang Perai Tengah serta projek menaik taraf Jalan Bukit Tambun FT149 dari Persimpangan Jalan Persekutuan FT001 ke Persimpangan Tol Bukit Tambun Selatan, Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan.

 

Selain itu beliau berkata dua lagi projek ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Perai Fasa 2 di Seberang Perai Tengah dan pemetaan serta pembangunan sumber air bawah tanah di Pulau Pinang.

 

“Satu lagi projek keutamaan negeri, iaitu Penang STEM Talent Blueprint, telah diluluskan lebih awal di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13 dengan kos keseluruhan RM12.3 juta,” katanya.

 

Kerjasama Persekutuan dan negeri diteruskan

Chow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghargai pertimbangan dan kelulusan yang diberikan terhadap projek pembangunan berkenaan.

 

Menurut beliau, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum untuk kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.

 

Kerjasama itu turut merangkumi usaha merealisasikan penubuhan Penang Technology Financial Centre (PTFC), yang dirancang sebagai pusat kewangan teknologi negara.

 

PTFC dijangka menyumbang RM12.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyokong lebih 71,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun akan datang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved