
Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, gabungan itu perlu memperbaiki cara ia beroperasi susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Presiden Usno, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai cara gabungan pemerintah Sabah itu berfungsi.
Pandikar, bekas Speaker Dewan Rakyat, minggu lalu berkata Usno telah diabaikan oleh beberapa pemimpin GRS selepas partinya menuntut kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya negeri.
Beliau memberi amaran bahawa Usno mungkin akan bergerak secara solo dalam pilihan raya negeri akan datang sekiranya terus dipinggirkan dalam GRS.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Dalam satu kenyataan, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), berkata setiap parti komponen GRS, tanpa mengira sama ada mereka kini memegang kerusi atau tidak, berhak untuk dilayan dengan hormat.
Menegaskan bahawa tiada parti komponen GRS patut dianggap sebagai sekadar “perhiasan”, Jeffrey berkata gabungan itu mesti bersedia menangani kebimbangan Pandikar dengan keterbukaan dan kematangan.
“Saya faham rasa kecewa beliau dan saya bersetuju dengan perkara yang beliau bangkitkan. Sebagai seorang pemimpin senior yang telah berkhidmat dengan cemerlang untuk Sabah, pandangan beliau mesti dipertimbangkan secara serius,” kata Jeffrey.
“Ini bukan soal ego atau jawatan. Ini soal memulihkan ketertiban dan integriti dalam gabungan kita. Jika kita gagal membetulkan apa yang rosak dalam GRS, kita berisiko kehilangan mandat yang telah diberikan kepada kita.”
Selain Usno dan Star, GRS turut dianggotai oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Parti Bersatu Sabah, Parti Maju Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik dan Parti Cinta Sabah.
Jeffrey mencadangkan agar Majlis Tertinggi GRS mengadakan mesyuarat berkala untuk membincangkan kebimbangan Pandikar, sekali gus menyediakan satu forum tersusun bagi parti-parti komponen mencadangkan penambahbaikan.
Beliau mencadangkan supaya tugas kepimpinan digilirkan bagi membina kepercayaan dan mengurangkan pergeseran dalaman dalam gabungan, sambil menambah setiap parti komponen perlu diberikan tanggungjawab atau peranan yang jelas — walaupun mereka tidak memegang sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri buat masa ini.
Jeffrey turut mencadangkan agar semua parti berasaskan Sabah mengadakan pertemuan untuk meneroka kerjasama yang lebih meluas, dengan menyatakan bahawa penting bagi parti-parti tempatan Sabah mengadakan perbincangan terbuka tentang bagaimana untuk menjaga hala tuju politik negeri dan mengurangkan kebergantungan kepada Putrajaya.
Tambahnya, adalah penting untuk GRS mengambil pendirian yang jelas mengenai penyekutuan di peringkat Persekutuan sebelum pilihan raya negeri yang mesti diadakan selewat-lewatnya Disember ini.
“Adakah kita akan bertanding kesemua 73 kerusi secara bebas atau akan berpihak kepada mana-mana blok Persekutuan?
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan tergantung. Rakyat berhak mendapat kejelasan dan kejujuran.”
