Puluhan tahun hidup kekeliruan, komik beri jawapan

Health & Fitness
1 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Puluhan tahun hidup kekeliruan, komik beri jawapan

Komik bukan semata-mata hiburan sebaliknya wadah menyampaikan cerita melalui lakaran dan dialog ringkas. Setiap ilustrasi punya misi yang jauh lebih besar termasuk membantu masyarakat memahami dunia individu autistik.

Pereka grafik, Arif Arshad banyak menghasilkan siri komik digital berdasarkan pengalaman sebenar sebagai individu penghidap. Melalui garis dan kata-kata santai tetapi sarat pengalaman, beliau secara tidak langsung membina jambatan antara masyarakat dan individu autisme agar lebih ramai memahami mereka lewat empati, bukannya stigma.

Melalui pendekatan visual yang lebih mudah dihadam, beliau menterjemah perkara yang sukar dijelaskan melalui kata-kata: bagaimana individu autistik berfikir, mengurus emosi dan berdepan cabaran kehidupan seharian.

Image from: Puluhan tahun hidup kekeliruan, komik beri jawapan
Foto Facebook Arif Autistic Graphic Designer

Usaha tersebut membawa kesan tidak disangka-sangka. Karya Arif bukan sahaja menggamit perhatian di media sosial, malah titik permulaan kepada ramai individu dewasa untuk mengenali diri sendiri selepas puluhan tahun hidup dalam kekeliruan.

Lebih bermakna, komik beliau membantu ibu bapa memahami tingkah laku anak autisme dari perspektif yang selama ini jarang dipampangkan kepada masyarakat.

Malah, beliau menerima pelbagai mesej pembaca yang mendapati pengalaman dalam komik itu sangat dekat dengan kehidupan mereka. Hingga akhirnya membawa kepada kesedaran betapa mereka pun sebenarnya dalam penghidap autisme.

“Ada yang mesej saya, umur 50 tahun baru tahu dia autistik. Sebelum ini dia ingat dia memang bermasalah, tapi bila tengok komik saya, barulah dia boleh kaitkan dengan pengalaman masa kecil mereka," katanya dalam program Siapa Tahu? terbitan Media Selangor.

Image from: Puluhan tahun hidup kekeliruan, komik beri jawapan
Arif Arshad

Malah Arif sendiri mengakui hanya mengetahui dirinya dalam lingkungan autisme ketika mengikuti pengajian diploma selepas seorang pensyarah menyedari ciri-ciri kelainan dirinya dan mencadangkan menjalani pemeriksaan di hospital.

Sebelum membuat diagnosis pada 2004, Arif memang sering berasa dirinya berbeza daripada orang lain dan sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran. Bahkan, beliau pernah menganggap dirinya bermasalah tanpa mengetahui sebab sebenar.

“Saya ingat saya memang ‘broken’ (rosak). Masa sekolah, saya tidak tahu pun saya autistik,” katanya.

Ramai individu autisme yang tidak didiagnosis sejak kecil menjalani kehidupan dalam keadaan 'masking' atau berselindung. Cuba menyesuaikan diri dengan norma masyarakat hingga akhirnya menenggelamkan identiti sebenar.

Keadaan itu turut dialami golongan profesional termasuk peguam, jurutera dan pakar teknikal yang memilih untuk tidak mendedahkan wajah sebenar lantaran bimbang akan stigma di tempat kerja.

“Ada yang kerja sebagai peguam, tetapi dia tak boleh dedahkan sebab pekerjaannya. Dia takut kerjayanya terjejas,” katanya sambil menegaskan tanpa diagnosis dan sokongan sesuai, individu autisme dewasa berisiko mengalami 'burnout' atau keletihan melampau selain tekanan emosi berpanjangan.

Image from: Puluhan tahun hidup kekeliruan, komik beri jawapan
Foto Facebook Arif Autistic Graphic Designer

Atas kesedaran itulah, Arif memilih komik sebagai wadah membawa masyarakat menyelami dunia landskap dalaman individu autisme. Karya paling mendapat perhatian antaranya konsep 'mental stimming' iaitu cara individu autistik menenangkan diri dengan membayangkan detik-detik ceria atau mengulang skrip tertentu dalam fikiran ketika berdepan tekanan.

Namun, konsep berkenaan sebenarnya sukar difahami kebanyakan masyarakat kerana mereka hanya melihat tingkah laku luaran tanpa mengetahui proses mental di sebaliknya.

“Ibu bapa nak tahu sangat apa fikiran anak mereka. Bila anak tidak ikut cakap atau buat perangai tertentu, mereka tidak faham kenapa.

“Kadang-kadang keadaan buat mereka stres, jadi mereka akan bayangkan benda yang buat mereka tenang. Itu cara mereka mengawal emosi,” katanya yang telah mendirikan rumah tangga.

Sebaliknya, pendekatan visual melalui komik memudahkan ibu bapa memahami mengapa anak mereka berkelakuan sedemikian, sekali gus mengurangkan salah faham terhadap perbuatan yang dianggap janggal atau disengajakan.

Image from: Puluhan tahun hidup kekeliruan, komik beri jawapan
Grafik Azwa Abdul Malek

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved