
SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) mengeluarkan hasil siasatan berhubung insiden gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada 27 Julai 2022 di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.
NRECC dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, hasil siasatan melibatkan pakar teknikal bebas yang dilantik Suruhanjaya Tenaga mendapati, gangguan tersebut berpunca daripada kejadian pelantikan (tripping) yang berlaku di pencawang masuk utama (PMU) Yong Peng North.
“Insiden yang berlaku berpunca daripada kerosakan peralatan pengasing (disconnector) di PMU Yong Peng North. Ia menyebabkan berlakunya pancaran arka (flashover) dan menyambar ke talian bersebelahan serta mengakibatkan PMU Yong Peng North terpelantik.
“Untuk makluman, PMU tersebut mula beroperasi sejak tahun 1987 merupakan titik penting dalam sistem grid yang menghubungkan Wilayah Selatan dengan Wilayah Tengah dan Utara,” jelas kenyataan berkenaan.
Insiden itu telah menyebabkan sistem grid terpisah kepada dua wilayah dengan frekuensi operasi yang berbeza, iaitu 48.9Hz di Wilayah Tengah dan 51Hz di Wilayah Selatan.
Sehubungan itu, bagi menstabilkan frekuensi grid di Wilayah Tengah, mekanisme Skim Perlucutan Beban Automatik (Under Frequency Load Shedding- UFLS) telah diaktifkan bagi mengelakkan sistem grid daripada lumpuh sepenuhnya dengan kehilangan beban sebanyak 2,269MVW yang melibatkan sebanyak 65 PMU.
“Siasatan mendapati kerja-kerja penyelenggaraan di PMU Yong Peng North telah dilaksanakan mengikut jadual yang sepatutnya dan tiada unsur-unsur kecuaian dikenal pasti menjadi punca kepada insiden tersebut.
“Sebagai langkah segera, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil tindakan pantas dengan menukar semua disconnector di PMU Yong Peng North,” menurut kenyataan itu.
NRECC menambah, selain memastikan punca dan kesan gangguan, siasatan tersebut turut meneliti dan menentukan sama ada kejadian tersebut mematuhi Standard Prestasi Perkhidmatan (Guaranteed Service Level - GSL) TNB atau sebaliknya dan seterusnya akan menjadi asas penentuan sama ada pelanggan yang terlibat layak diberikan rebat atau pun tidak.
Berdasarkan semakan GSL, proses pemulihan bekalan tersebut telah diselesaikan oleh pihak TNB dalam tempoh masa yang dibenarkan di mana bekalan elektrik berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 2 jam 23 minit.
Justeru, tiada penalti dalam bentuk rebat untuk pengguna dikenakan kepada TNB.
“Semua pihak yang terlibat dalam insiden ini telah mengambil langkah-langkah mitigasi jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan kebergantungan sistem grid di Semenanjung Malaysia dapat dipertingkatkan dan insiden seperti ini dapat dielakkan daripada berulang pada masa hadapan,” jelas NRECC.


![[VIDEO] 'Usul tambahan itu bukan usul haram' - Ahmad Maslan](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)