KOTA BHARU - Sikap suka membuang puntung rokok tanpa dipadam dengan sempurna menjadi penyumbang kepada kebakaran terbuka di negeri ini, khususnya dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sikap sambil lewa boleh menjadi punca kebakaran yang serius.
"Kalau merokok, pastikan puntung rokok dipadam betul-betul. Namun, sebaik-baiknya jangan merokok," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, dalam keadaan kemarau, rumput kering dan semak samun mudah terbakar walaupun berpunca daripada api kecil.
Sehubungan itu, Mohd Nassuruddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa memastikan sebarang sumber api dipadam sepenuhnya.
Tambahnya, langkah pencegahan awal amat penting bagi mengelakkan kebakaran daripada merebak dan mengancam keselamatan serta harta benda.
Kata beliau, rakyat turut dinasihatkan agar lebih berwaspada dalam menghadapi cuaca panas dan kemarau yang disifatkan agak serius ketika ini.
Ujarnya, orang ramai digesa menjaga kesihatan serta mengurangkan aktiviti luar, terutama pada waktu tengah hari bagi mengelakkan kesan buruk akibat cuaca ekstrem.
"Kalau tidak penting, elakkan keluar rumah pada waktu tengah hari. Keadaan kemarau kali ini agak teruk, jadi rakyat perlu lebih berhati-hati," katanya.
