Purata penggunaan kuota BUDI95 hanya 33% dari had 300 liter sebulan - Amir Hamzah

LocalPolitics
11 Dec 2025 • 11:13 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Purata penggunaan kuota BUDI95 hanya 33% dari had 300 liter sebulan - Amir Hamzah
image is not available
liza11/12/2025 - 11:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Dis – Kajian yang dibuat sebelum pelaksanaan program subsidi RON95 (BUDI95) mendapati 99% rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter petrol sebulan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Justeru, beliau menegaskan, had kelayakan subsidi sebanyak 300 liter sebulan di bawah program BUDI95 adalah mencukupi dan wajar bagi menampung keperluan penggunaan peribadi majoriti rakyat Malaysia.

 

“Ini dapat dilihat berdasarkan data penggunaan sebenar, sejak pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 apabila penerima BUDI95 bagi penggunaan persendirian mencatatkan purata penggunaan sebanyak 98 liter sebulan, iaitu hanya 33 peratus daripada had kelayakan bulanan yang ditetapkan. 

 
“Ini bermakna majoriti rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Oleh itu, perjalanan harian mereka akan terus dilindungi sepenuhnya di bawah kadar RM1.99 seliter,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu rasional di sebalik pelaksanaan BUDI95 yang menetapkan harga RM1.99 bagi 300 liter pertama dan kembali kepada harga apungan RM2.60 bagi penggunaan melebihi 300 liter berbanding penetapan harga berperingkat seperti RM2.10 atau RM2.30 di Parlimen hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan berpandangan penetapan harga berperingkat pada paras RM2.10 atau RM2.30 selepas kuota masih mengekalkan elemen subsidi yang tidak efisien.

 

“Ini meningkatkan risiko ketirisan serta tidak menyumbang kepada pengukuhan kedudukan fiskal Kerajaan.  

 

 “Oleh itu, kerajaan akan terus memantau secara teliti pola dan corak penggunaan ini serta menilai semula had berkenaan dari semasa ke semasa, bagi memastikan pelaksanaan dasar penyasaran subsidi RON95 sentiasa diperhalusi dan diperkukuh demi manfaat rakyat serta kelestarian fiskal negara,” katanya. 

 

Program BUDI95 hanya terbuka kepada warganegara Malaysia yang memiliki MyKad dan lesen memandu sah. 

 

Selain itu, kenderaan pengangkutan awam dan barangan tertentu masih menikmati subsidi pada kadar RM2.05 seliter, manakala bukan warganegara dan pengguna komersial dikenakan harga pasaran.- DagangNews.com

Terkini standard