
Tuaran: Pusat Bantuan Guaman Wanita (PBGW) Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa) mengendalikan 46 kes berkaitan kekeluargaan dan penganiayaan dari sudut Syariah, Sivil dan Adat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, berdasarkan statistik terkini dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 40 kes dikendalikan di Kota Kinabalu, empat kes di Kota Belud dan dua kes di Sandakan.
“Diharapkan menerusi usaha yang dilaksanakan oleh Jhewa ini, lebih ramai golongan wanita khususnya dapat dibantu untuk diwakili di mahkamah dalam kes-kes kritikal dan lama tidak selesai.
“Perkhidmatan Bantuan Guaman oleh Jhewa khas untuk wanita yang memerlukan pembelaan dan nasihat berkaitan perundangan, dan golongan hawa perlu mengetahui fungsi perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika merasmikan program Jerayawara Jelajah Sabah di Dewan Seri Sulaman, Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Dr Hajjah Tarsiah TZ Taman, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Haji Mohd Arifin Mohd Arif, serta Pembantu Menteri Kewangan Negeri Datuk Jasnih Daya.
Program itu dianjurkan oleh MPWS dan Jhewa, dengan kerjasama Pejabat Daerah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Tuaran adalah destinasi kelima Jerayawara Jelajah Sabah yang bermula sejak Julai lalu, selepas Ranau, Tawau, Lahad Datu dan Putatan. Program itu akan diteruskan ke beberapa daerah lain.
Hajiji berkata, program Jerayawara Jelajah Sabah amat bermakna kepada rakyat bagi mengetahui lebih lanjut produk dan perkhidmatan yang diberikan oleh MPWS, Jhewa, KWSP, Perkeso dan AKPK yang berkaitan bantuan guaman, tanggungjawab majikan, hak pekerja, caruman dan penyelesaian masalah kewangan.
“Kerajaan Sabah komited menyokong pelaksanaan program ini kerana ia turut membantu usaha kerajaan memberi lebih banyak maklumat yang bermanfaat kepada rakyat.
“Saya berharap program seperti ini akan terus mendapat sokongan daripada rakyat untuk lebih mengetahui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sepanjang program berlangsung oleh agensi-agensi yang terbabit.
“Saya juga berharap agar semua maklumat dan perkongsian yang disampaikan oleh agensi-agensi pada hari ini memberikan manfaat berguna kepada peserta program, dan segala ilmu yang diperoleh ini dikongsikan kepada saudara mara dan rakan terdekat,” tambahnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
