Pusat Data AWS Pertama Di Malaysia Sedang Dibangunkan Di Cyberjaya

TechnologyDigital
20 Aug 2024 • 3:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kebelakangan ini, Malaysia dilihat sedang menerima ledakan dari segi permintaan untuk membuka pelbagai jenis pusat data dan “kilang AI” di tanah air kita, dan salah satu daripada syarikat data terbesar di dunia, Amazon nampaknya sudahpun mula membangunkan pusat data pertama mereka di Malaysia.

Lowyat.Net telah melaporkan bahawa pembangunan untuk pusat data Amazon Web Services pertama di Malaysia sudahpun bermula di Cyberjaya, dan akan terletak di sekitar Persiaran APEC. Papan tanda yang didirikan di lokasi tersebut memperlihatkan butiran projek tersebut yang nampaknya akan dibangunkan secara beberapa fasa.

image is not available

Fasa 1A akan hadir dengan pembukaan satu blok bangunan pusat data bersama-sama dengan pejabat dua tingkat bersama-sama dengan beberapa unit bangunan penting yang lain untuk kegunaan logistik pusat data ini.

Kontrak untuk membangunkan pusat data ini nampaknya diterima oleh kumpulan Sunway. Akan tetapi, walaupun tapak untuk pembinaan pusat data ini sudahpun ditetapkan, pembinaan pusat data ini masih belum dimulakan kerana kelulusan untuk pembinaan masih belum diterima oleh pihak kontraktor.

Pembangunan pusat data AWS ini juga bukanlah sesuatu yang baru. Pada awal tahun ini, ia telah dilaporkan bahawa Sunway Construction Sdn Bhd telah memenangi bida untuk kontrak membangunkan sebuah pusat data untuk syarikat MNC yang berasal dari Amerika Syarikat di Malaysia, dan pembangunan akan dimulakan tidak lama lagi yang bernilai RM747.8 juta.

Nampaknya tidak lama lagi kita akan dapat melihat pusat data AWS pertama di Malaysia yang akan merumahkan pelbagai jenis kandungan web, dan mungkin akses lebih pantas kepada perkhidmatan penstriman video Prime Video. Setakat ini ia masih tidak diketahui samada pembukaan pusat data ini akan membolehkan Amazon akhirnya membuka gedung jual-beli mereka sendiri untuk pasaran tempatan.