Pusat data kini guna 9.28% elektrik negara, dijangka meningkat lagi 4Q26

LocalTechnology
8 Sep 2026 • 4:05 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pusat data kini guna 9.28% elektrik negara, dijangka meningkat lagi 4Q26 Image from: Pusat data kini guna 9.28% elektrik negara, dijangka meningkat lagi 4Q26 hamden08/09/2026 - 16:05

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pusat data kini menyumbang 9.28 peratus daripada jumlah penggunaan elektrik, menurut Suruhanjaya Tenaga (ST).

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Safinah Salleh berkata, penggunaan elektrik pusat data boleh berubah mengikut keadaan cuaca, memandangkan sistem penyejukan memerlukan lebih banyak tenaga ketika tempoh cuaca panas.

 

“Kami menjangkakan permintaan elektrik meningkat pada suku keempat tahun ini kerana terdapat beberapa pusat data yang dijangka mula beroperasi atau beroperasi sepenuhnya sekitar November.

 

“Ketika ini, seperti yang saya nyatakan tadi, permintaan elektrik melebihi 21 gigawatt. Jadi, kami tidak menjangkakan peningkatan yang terlalu besar dari segi kapasiti puncak, tetapi penggunaan akan meningkat dengan ketara apabila pusat data mula beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Energy Regulatory Insights (ERI) 2026 di sini hari ini.

 

Mengenai sama ada penggunaan elektrik oleh pusat data akan dihadkan, beliau berkata tiada had khusus ditetapkan kerana kelulusan adalah berdasarkan kapasiti tersedia dalam sistem tenaga.

 

“Apabila sistem berkembang, pusat data, sama seperti pelabur lain, boleh masuk berdasarkan jumlah bekalan yang mampu disediakan oleh sistem dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

 

Melabur dalam tenaga boleh diperbaharui

Siti Safinah berkata pengendali pusat data juga boleh melabur secara langsung dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui menerusi Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS).

 

“Kami mempunyai saluran permohonan dan minat yang sangat sihat berjumlah kira-kira tiga gigawatt, dengan beberapa projek sudah berada pada peringkat lanjutan,” tambahnya.

 

Sementara itu, beliau berkata tiada kapasiti penjanaan tambahan berasaskan gas dijangka mula beroperasi pada 2027, yang memerlukan kapasiti sedia ada dioptimumkan bagi memenuhi permintaan elektrik.

 

Katanya, gas kini menyumbang kira-kira 55 peratus daripada kapasiti penjanaan terpasang dan dijangka memainkan peranan yang semakin penting sebagai bahan api peralihan dalam campuran tenaga negara menuju 2050.

 

ST turut mengenal pasti keperluan penjanaan terkumpul sekitar lapan gigawatt bagi tempoh 2029 hingga 2031 di bawah kitaran perancangan tiga tahun terbaharunya, katanya.

 

Siti Safinah berkata jawatankuasa perancangan menyemak keperluan sistem elektrik negara sebanyak dua kali setahun bagi bertindak balas terhadap perubahan dalam sektor tenaga yang semakin dinamik.

 

Dianjurkan oleh ST, ERI 2026 yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan pembuat dasar, pengawal selia, pemimpin industri, institusi kewangan, ahli akademik serta organisasi antarabangsa bagi meneroka bagaimana pembaharuan kawal selia boleh menjadi pemangkin kepada pelaburan, daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang.

 

Bertemakan “Energy Reform, Powering Growth”, ERI 2026 menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama kawal selia, merancakkan pembangunan pasaran serta mempengaruhi keputusan pelaburan yang dapat mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang. - BERNAMA

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved