
SHAH ALAM, 28 APRIL: Sebanyak 22 perniagaan sektor penjagaan menyertai Selangor Care Accelerator 2025 (XCare) siri pertama yang bermula hari ini.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata antara perniagaan terlibat adalah pusat jagaan termasuk warga emas, kesihatan mental, perbidanan dan urutan.
“Semua pusat jagaan yang terlibat dengan program ini berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Setiap peserta melalui tujuh modul berkaitan pembangunan perniagaan termasuk kelas dan pitching bermula hari ini sehingga Jun depan.
“Tajuk yang disampaikan memfokuskan kepada ekonomi penjagaan untuk mengembangkan perniagaan dalam bidang penjagaan. Diharap dengan penganjuran program ini memartabatkan agenda penjaga,” katanya.

Ditemui pada majlis perasmian, Anfaal yang juga EXCO pembangunan wanita memaklumkan Kerajaan Negeri bercadang menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan.
“Ini kali pertama dianjurkan dan lihat kepada keperluannya, mungkin teruskan pada tahun berikutnya dengan penambahbaikan berdasarkan pengalaman pertama,” ujarnya.
Untuk rekod, penganjuran program XCare selaras dengan Teras 4 Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030 iaitu Pelaburan dan Kerjasama.
Program dijalankan dengan kerjasama Selcare, Wanita Berdaya Selangor (WBS), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
The post Pusat jagaan antara 22 perniagaan sertai program pembangunan negeri appeared first on Selangorkini.

