Pusat Khidmat Masyarakat disaran cari tempat luas, banyak parkir sebagai lokasi jualan murah

20 Feb 2023 • 5:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 20 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) disaran mencari kawasan yang luas, mempunyai banyak petak parkir dan tidak mengganggu lalu lintas sebagai lokasi program Jelajah Ehsan Rakyat (JER).

Penolong Pengurus Logistik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata kawasan yang sesuai dan mempunyai kemudahan parkir akan menarik lebih ramai pengunjung dan memberi keselesaan kepada mereka.

image is not available
Penolong Pengurus Logistik PKPS Mohd Hasri Abu Hassan. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kita berterima kasih kerana kebanyakan PKM sediakan kawasan yang sesuai untuk program jualan seperti di padang, dewan, masjid serta taman awam.

“Selain itu mereka juga sediakan khemah dan kerusi untuk kemudahan pihak kami serta pengunjung. Jadi kami harap keadaan seperti ini dapat dikekalkan dan dicontohi di semua tempat,’’ kata Mohd Hasri Abu Hassan ketika ditemui di JER DUN Gombak Setia di Pangsapuri Sri Harmonis di sini hari ini.

Mengenai jualan dilokasi berkenaan, beliau memberitahu hampir 400 pengunjung datang membeli barangan yang ditawarkan dengan bekalan telur, ayam, daging dan ikan habis dijual.

“Beras dan minyak hanya berbaki sedikit. Kita juga harap pengunjung dapat membawa beg guna semula selepas ini kerana plastik tambahan akan dikenakan bayaran 20 sen,’’ katanya.

image is not available
Orang ramai membuat pembelian dikaunter pembayaran selepas nombor giliran dipanggil di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Gombak Setia di Gombak pada 20 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Walaupun jualan murah bermula 10 pagi namun lebih 100 pengunjung sudah beratur sejak 8 pagi untuk merebut peluang membeli barangan murah yang ditawarkan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).