Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu jalin kerjasama strategik dengan 6 syarikat industri penerbangan

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2025 • 11:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu jalin kerjasama strategik dengan 6 syarikat industri penerbangan

image is not available

06/10/2025 - 11:36

Golongan belia menyertai Karnival Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan 2025 di Terengganu/Gambar FB Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 6 Okt – Pusat Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu (THRDC) menjalin kerjasama strategik dengan beberapa syarikat berkaitan industri penerbangan bagi menjana peluang pekerjaan berkualiti dan kemahiran untuk rakyat negeri itu.

Kerjasama itu melibatkan MAB Engineering Services, Cosmo Aviation, Meatech ATC, TransAsia Services, Willing Technologies dan ATC Resources, sebahagian daripada inisiatif memperluas latihan industri serta penempatan tenaga kerja tempatan dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan.

Langkah berimpak tinggi itu diumumkan sempena Majlis Pelancaran Pusat Cari Kerja Terengganu (PCK) dan Karnival Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan 2025 yang berlangsung semalam.

Melalui inisiatif bersama industri tersebut, seramai 15 pelajar tajaan Yayasan Terengganu dan Yayasan Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu kini mengikuti kursus Certified Aircraft Technician (Category A) yang akan membuka peluang pekerjaan di Batik Air setelah tamat pengajian.

image is not available

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, kerjasama itu bukan sahaja menyediakan laluan kerjaya baharu kepada golongan muda, malah turut memperkukuh daya saing tenaga kerja tempatan dalam sektor penerbangan yang kian berkembang.

“Penubuhan PCK adalah inisiatif penting kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan sumber manusia.

“Pusat ini berperanan sebagai hab sehenti pekerjaan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan pekerjaan termasuk pemadanan kerja, sesi temuduga, pendaftaran pencari kerja serta program bimbingan asuhan kerjaya.

“Ia diwujudkan bagi mengurus keperluan permintaan dan penawaran tenaga kerja tempatan dengan lebih berkesan, di samping menjadi saluran penyampaian inisiatif kerajaan kepada pencari kerja, usahawan dan majikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, THRDC turut menjalankan libat urus berterusan bersama Pejabat Daerah, JPKK, Pusat Khidmat DUN, institusi pengajian tinggi dan kolej kemahiran bagi memastikan maklumat peluang kerja sampai kepada rakyat di seluruh pelosok negeri.

Pendekatan ini diambil bagi mengatasi jurang maklumat yang masih wujud, terutama dalam kalangan belia dan penganggur yang kurang mahir mengakses platform digital pekerjaan.

Karnival Kesejahteraan Pekerjaan dan Keusahawanan 2025 yang diadakan sempena pelancaran PCK turut menarik penyertaan enam majikan dengan lebih 500 peluang pekerjaan, termasuk 213 jawatan dalam negeri Terengganu.

Sebanyak 10 reruai pameran turut dibuka, termasuk tiga pemain utama industri penerbangan dan aeroangkasa yang memperkenalkan prospek kerjaya serta peluang latihan kepada belia.

Sejak 2018 hingga 2022, kerajaan negeri Terengganu telah mewujudkan sebanyak 20,351 penempatan pekerjaan.

Kadar pengangguran siswazah negeri juga semakin baik iaitu menurun kepada 3.9% pada tahun 2023 berbanding 7.3% pada tahun 2018. - DagangNews.com

standard