Pusat pembelajaran alam strategik Kanyon Imbak

LocalEnvironment
28 Aug 2025 • 4:00 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TONGOD: Kawasan Konservasi Kanyon Imbak kini meluaskan peranannya dalam memberi pendidikan serta pengetahuan berkaitan alam semula jadi buat golongan pelajar dan guru.

Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) Datuk Gulamhairdar @ Yusof Khan Bahadar berkata Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak diwujudkan bagi melestarikan usaha pendidikan luar bilik darjah secara menyeluruh khasnya berkaitan usaha konservasi hutan hujan tropika.

“Pusat ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang bersesuaian termasuklah bilik darjah, makmal, dewan mesyuarat, dewan makan, chalet, hostel, galeri biodiversiti dan rumah penginapan untuk pelawat.

“Semua fasiliti ini bagu memudahkan proses pendidikan dan pembangunan insan kerana lokasi ini terletak di tengah-tengah jantung Sabah yang berperanan bukan sahaja sebagai benteng biodiversiti dan zon perlindungan semula jadi malah selaku tapak penyelidikan serta ekopelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Program Orientasu Alam dan Ilmu di Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar KYS Dr Waidi Sinun.

Mengulas lanjut Gulam menyatakan usaha berterusan KYS melalui pusat pembelajaran itu juga mampu meningkatkan kesedaran terhadap usaha pemuliharaan dengan menyaksikan sendiri pemeliharaan yang dilakukan oleh pihak pengurusan kawasan konservasi sekali gus membina nilai serta jati diri para pelajar.

Dalam pada itu beliau turut menyeru pihak pentadbiran sekolah agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh fasiliti Kanyon Imbak dengan merangka dan mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelajar.

“Pihak sekolah digalakkan untuk merangka lawatan berkala, perkhemahan pendidikan serta program integrasi kokurikulum yang menjadikan alam semula jadi sebagai kelas terbuka.

“Ini sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan saya percaya bahawa dengan perancangan yang teliti kawasan ini boleh dijadikan sebagai Tapak Satelit Pendidikan Alam Sekitar Negeri Sabah khususnya bagi sekolah-sekolah pedalaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kanyon Imbak juga mempunyai potensi untuk dibangunkan dari sudut ekonomi komuniti secara beretika dan lestari.

“Ini penting untuk impak sosial dan ekonomi setempat kerana setiap yang dilakukan perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas.

“Program-program berasaskan alam semula jadi ini boleh menjadi asas kepada pengembangan pelancongan pendidikan yang secara langsung menyumbang kepada pendapatan penduduk setempat,” ujar beliau lagi.

Terdahulu lebih 60 pelajar membabitkan 11 buah sekolah sekitar daerah Tongod dan Telupid menyertai program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 22 sehingga 24 Ogos lalu.

Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan bagi mengisi jadual pembelajaran peserta khasnya berkaitan pendidikan alam semula melibatkan flora dan fauna.