Pusat pemeriksaan Kastam baharu di Forest City dijangka siap menjelang akhir 2024

29 Jan 2024 • 2:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pusat pemeriksaan Kastam baharu di Forest City dijangka siap menjelang akhir 2024

zulfadli

29/01/2024 - 14:37

KUALA LUMPUR 29 Jan - Forest City sedang membina pusat pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memindahkan pusat pemeriksaan sedia ada ke lokasi baharu.

Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia-Singapura berkata, Fang Fang berkata, pembinaan pusat pemeriksaan baharu itu akan dapat meningkatkan kelancaran pemeriksaan agensi berkaitan selain turut meningkatkan aspek penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

"Forest City mempunyai fasiliti dan ekosistem yang lengkap bagi pelaksanaan inisiatif Zon Kewangan Khas (SFZ). Bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan bagi merancakkan lagi kemasukan pelaburan ke sini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Terdahulu, Forest City kini giat meningkatkan pelbagai kemudahan di kawasan itu sebagai persediaan bagi pelaksanaan inisiatif SFZ seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Penambahbaikan yang dibuat terhadap kemudahan sedia ada amat penting dalam memastikan Forest City dapat terus menarik kehadiran pelabur menerusi inisiatif SFZ.

Fang Fang berkata, Forest City juga sedang meningkatkan lagi mutu jaringan capaian internet serta mengimplementasikan penggunaan teknologi terkini untuk menjadikan inisiatif itu sebagaimana zon kewangan terbaik di rantau ini.

Katanya, sebagai tambahan kepada pembangunan Forest City, beberapa projek infrastruktur berkaitan pengangkutan juga sedang rancak dibangunkan di kawasan sekitar sekali gus dapat dimanfaatkan Forest City.

image is not available
Fang Fang

Menurut laporan media, antara projek yang diberi perhatian adalah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan sistem pengangkutan transit aliran ringan (LRT) yang diharap dapat dibina di kawasan tersebut.

Menurut kenyataan itu, Forest City juga telah melancarkan perkhidmatan bas rentas sempadan secara rasmi hujung tahun lalu bagi membolehkan pelbagai jenis pengangkutan awam berpusat di SFZ Forest City.

Pada masa sama, Forest City menyambut baik usaha memperkenalkan sistem kod QR tanpa menggunakan pasport di sempadan antarabangsa negara bagi membolehkan pemeriksaan dibuat lebih lancar.

"Penggunaan sistem yang melibatkan kedua-dua pihak berkuasa Malaysia dan Singapura itu dilihat sebagai satu langkah dalam melancarkan pergerakan rentas sempadan sekali gus memberi manfaat kepada orang ramai dan juga barangan dagangan.

"Menerusi idea inovatif itu, ia dipercayai dapat membuka lebih banyak peluang baharu buat Forest City di masa akan datang," katanya.

Katanya, apabila Perdana Menteri mengumumkan inisiatif SFZ di Forest City, penekanan telah diberi dalam aspek mempercepat proses pelepasan Kastam antara Malaysia dan Singapura. - DagangNews.com