Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 yang dibangunkan Axis-REIT kini disewa SPX Xpress Malaysia selama 15 tahun
diyana
02/08/2023 - 14:34
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pusat Pengedaran Bukit Raja 2 (BRDC 2) yang dibangunkan oleh Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) kini telah disewakan kepada pengendali e-dagang, SPX Xpress (Malaysia) Sdn Bhd.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Axis-REIT berkata kemudahan gudang yang terletak Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan, Shah Alam, Selangor itu kini diserahkan kepada SPX Xpress Malaysia, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 31 Ogos 2023.
Tambahnya, hartanah tersebut telah dipajak sepenuhnya oleh SPX Xpress selaku pihak kedua untuk tempoh 15 tahun manakala penyewaan telah bermula 1 Ogos 2023.
Axis-REIT mengumumkan perkara tersebut selepas kemudahan gudang tersebut disiapkan sebaik sahaja Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) diperoleh pada 1 Ogos 2023.
“Di samping penyewaan baharu di Pusat Pengedaran Shah Alam 3 menjelang Ogos 2023, penyiapan BRDC 2 akan meningkatkan kadar penghunian portfolio kepada 92%, di mana kadar yang lebih tinggi sudah pasti akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Axis-REIT pada suku-suku mendatang,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Axis REIT Managers Berhad, Leong Kit May.

Pembangunan BRDC 2 melibatkan pembinaan gudang satu tingkat dan bangunan sampingan.
Di samping itu, projek tersebut menambah baik blok pejabat tiga tingkat sedia ada dengan keluasan binaan kasar kira-kira 620,096 kaki persegi, terletak di atas tanah pegangan bebas seluas 8 hektar.
Sijil Penyiapan Praktikal (CPC) BRDC 2 telah diperoleh lebih awal pada 26 Jun 2023.
Pada waktu penulisan, saham Axis-REIT didagang naik 1 sen atau 0.6% kepada RM1.83 dengan permodalan pasaran bernilai RM3.19 bilion. - DagangNews.com

