Pusat Servis Kereta Dipecah Masuk, 3 Suspek Ditahan

11 Aug 2022 • 2:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah pusat servis kereta di Jalan AWF Waterfront, Ampang yang menyebabkan kerugian RM30,000 - Gambar PDRM

KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah pusat servis kereta di Jalan AWF Waterfront, Ampang yang menyebabkan kerugian RM30,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua mereka ditahan selepas polis menerima laporan melibatkan kes berkenaan.

Menurut beliau, premis terbabit ditutup dalam keadaan baik dan berkunci pada jam 6.30 petang 5 Ogos lalu.

image is not available
Pihak polis berjaya merampas pelbagai barangan yang dilaporkan hilang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi tindakan selanjutnya - Gambar PDRM

"Bagaimanapun pada jam 7.50 pagi keesokan hari,  pekerja pusat servis kereta yang datang bertugas mendapati premis terbabit berada dalam keadaan berselerak kerana dipecah masuk.

"Susulan itu, polis menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam semalam, dengan dua daripada mereka masing-masing memiliki lapan serta satu rekod jenayah lampau,” katanya hari ini.

image is not available
Polis telah menahan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam semalam, dengan dua daripada mereka masing-masing memiliki lapan serta satu rekod jenayah lampau - Gambar PDRM

Mohamad Farouk berkata, pihak polis juga berjaya merampas pelbagai barangan yang dilaporkan hilang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi tindakan selanjutnya.

"Kami percaya dengan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah kedai melibatkan daerah Ampang Jaya, Subang, Sungai Buloh dan Alor Gajah, Melaka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun keseksaan. - Getaran, 11 Ogos 2022