
“Jika saya tahu proses Sulh tidak stres dan semudah ini, dah lama saya failkan tuntutan nafkah anak. Tak perlu saya tunggu bertahun-tahun, mencari kekuatan untuk menjejakkan kaki ke mahkamah.”
“Saya introvert dan tak suka mendedahkan perihal keluarga di tempat awam. Sulh merupakan penyelamat. Banyak perkara boleh dibincangkan dari hati ke hati dan kami berpuas hati dengan persetujuan yang dicapai.”
“Walaupun tidak semua perjanjian yang dipersetujui sepertimana yang dituntut, tetapi saya reda kerana memahami kekangan masing-masing. Setiap pertimbangan perlu dilakukan secara objektif, bukan berdasarkan emosi.”
Begitulah antara cuplikan rasa yang diluahkan pasangan selepas melalui perbincangan menerusi Majlis Sulh di mahkamah syariah.
Semenjak 2001, kes melibatkan tuntutan selepas perceraian di mahkamah syariah perlu melalui fasa perbincangan menerusi Majlis Sulh. Manakala persetujuan yang dicapai pula bersifat sukarela.
Ringkasnya, perjanjian yang diendorskan tersebut merupakan perintah mahkamah dan mengikat. Sekiranya berlaku pelanggaran, maka pihak yang gagal mematuhi perintah tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menghina mahkamah.
Walau bagaimanapun, sekiranya tiada persetujuan dicapai semasa majlis sulh, maka kes tersebut akan diteruskan prosidingnya ke hadapan hakim untuk melalui fasa sebutan dan perbicaraan sebelum penghakiman dikeluarkan.
Perlu difahami proses sebutan dan perbicaraan berlangsung lebih panjang bagi memastikan segala prosedur dipatuhi.
Antara prosedur yang perlu dipatuhi adalah memastikan pliding daripada kedua-dua belah pihak sempurna. Seterusnya, mahkamah memerintahkan keterangan bertulis daripada kedua-dua pihak berserta saksi difailkan.
Selepas hakim berpuas hati dokumen tersebut lengkap, barulah pihak dan saksi mengemukakan keterangan lisan secara terbuka dalam dewan mahkamah.
Perlu difahami pengemukaan keterangan tersebut bukan berlaku secara mendatar, namun setiap individu terdedah dengan gasakan soal balas daripada peguam/pihak yang satu lagi.
Semasa prosiding perbicaraan ini, pihak terlibat perlu membuktikan dakwaan masing-masing sama ada keterangan tersebut dikuatkan dengan keterangan saksi, dokumen, qarinah, keterangan pakar atau pun pembuktian lainnya.
Selepas sesi pengemukaan keterangan ditutup, hakim akan memerintahkan kedua-dua belah pihak mengemukakan hujahan. Hanya selepas hujahan diteliti, barulah penghakiman dikeluarkan. Sama ada suka atau tidak, keputusan hakim muktamad dan wajib dipatuhi.
Prosiding kes di mahkamah perlu dituruti sebaik mungkin. Ini kerana sebarang kekhilafan boleh menyebabkan pihak yang tidak berpuas hati memfailkan bantahan awal, semakan ataupun rayuan.
Kesannya, tempoh masa kes berkenaan akan terus berlarutan sehinggalah permohonan bantahan awal, semakan mahupun rayuan dimuktamadkan.
Berbanding prosiding perbicaraan yang dilakukan secara terbuka di dewan mahkamah, persetujuan yang dicapai menerusi majlis sulh pula dilakukan secara tertutup dan sukarela, tanpa melalui proses perbicaraan, tidak melibatkan dokumentasi yang rumit, keputusan dicapai secara harmoni, situasi menang-menang, menjimatkan kos dan penyelesaian diperoleh dalam tempoh lebih singkat.
Sepanjang 2022 hingga 2025, statistik di mahkamah syariah seluruh Malaysia menunjukkan 88 peratus kes berjaya diselesaikan menerusi persetujuan bersama bagi kes yang dihadiri oleh kedua-dua belah pihak semasa perbincangan.
Malah bagi 2024 pula menunjukkan 90 peratus kes berjaya diselesaikan secara perdamaian.
Oleh kerana kejayaan sulh bergantung persetujuan kedua-dua belah pihak, maka kehadiran pihak yang bertikai amat penting bagi menyelesaikan konflik, apatah lagi apabila majoriti kes yang terangkum dalam bidang kuasa sulh melibatkan tuntutan hak selepas perceraian.
Umum mengetahui faktor ketiga tertinggi yang menyumbang perceraian adalah permasalahan komunikasi. Justeru tidak hairan apabila cabaran utama yang dihadapi pegawai sulh ketika mengendalikan perbincangan melibatkan isu komunikasi, tiadanya toleransi, sikap menekan-nekan serta emosi yang membuak-buak.
Oleh itu, pihak yang bertikai perlu berjiwa besar, memahami tuntutan yang difailkan, saling mendengar penjelasan serta berusaha mencari penyelesaian terbaik.

PUSAT SULH
Menyedari kepentingan sulh dan kejayaannya menyelesaikan pertikaian secara harmoni, maka Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif dengan menjenamakan semula seksyen tersebut sebagai Pusat Sulh.
Jika sebelum ini kebanyakan kes sulh melibatkan tuntutan selepas perceraian, namun Pusat Sulh pula dilebarkan perkhidmatannya merangkumi runding cara, khidmat nasihat dan mediasi melibatkan seluruh kes mahkamah syariah serta pengurusan hakam.
Menariknya, apabila perkhidmatan sulh fast-track turut disediakan kepada pasangan yang berhasrat untuk menyelesaikan kes secara perdamaian, walaupun sebenarnya tuntutan tersebut belum difailkan di kaunter mahkamah.
Dalam situasi ini, kedua-dua pihak boleh hadir tanpa temu jani ke Pusat Sulh untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Sekiranya persetujuan dicapai, pegawai sulh akan menyediakan perjanjian persetujuan untuk diendorskan di hadapan hakim. Ini bermakna, kes tersebut akan diselesaikan pada hari sama ketika tuntutan berkenaan difailkan di mahkamah.
“Dengan penjenamaan Pusat Sulh, kami membuka akses seluasnya kepada masyarakat untuk berbincang bagi menyelesaikan konflik secara harmoni.
Apatah lagi apabila pihak yang bertikai merupakan ahli keluarga atau pernah menjadi pasangan suami isteri,” Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Mohd. Asri Tahir.
“Kita juga berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat menerusi pengurusan hakam dan jawatankuasa pendamai yang lebih efisien.
“Pada zaman teknologi yang berpacu dengan waktu, pelbagai medium dimanfaatkan termasuklah perbincangan secara dalam talian. Malah kepakaran pegawai sentiasa dipertingkat, terutamanya apabila menghadapi cabaran kes yang lebih kompleks,” tambahnya.
Perkhidmatan Pusat Sulh dengan nafas baharu ini julung kali diperkenalkan di Malaysia dan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, pada 27 Julai, lalu.
Pelaksanaan sulh dilaksanakan menurut seksyen 99, Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Sulh) (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2004, Kaedah Undang-UndangKeluarga Islam Wilayah Persekutuan (Hakam) 2023, Manual Kerja Hakam, Arahan Amalan dan Pekeliling Ketua Hakim Syarie. –UTUSAN
DR. Roziana Mat Amin ialah Pegawai Sulh Kanan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Exco Pendidikan, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM).
The post Pusat sulh mudahkan penyelesaian konflik appeared first on Utusan Malaysia.
