TM mempunyai cawangan TMpoint yang merupakan pusat khidmat pelanggan Unifi di seluruh Malaysia. Melalui usaha penjenamaan baharu “Your Next Is Now’ oleh Unifi, TMpoint akan tampil dengan pembaharuan sebagai pusat telekomunikasi yang memfokuskan kepada pengalaman penggunaan perkhidmatan daripada Unifi. Pembaharuan yang Unifi tawarkan di pusat telekomunikasi ini adalah dengan menaik taraf kedai konsep mereka ke arah lebih digital, dan ianya boleh dirasai di Pusat Telekomunikasi Unifi yang telah dibuka di IOI City Mall baru-baru ini.

Unifi mempunyai pelbagai produk disasarkan untuk pelbagai jenis pengguna. Tidak terhad sebagai penyedia internet jalur lebar Unifi Home, perkhidmatan lain seperti Unifi TV, rangkaian mudah alih mereka Unifi Mobile, dan juga Unifi for Business yang disasarkan untuk perniagaan, turut ditawarkan.

Kini kesemua perkhidmatan dan produk yang mereka tawarkan dapat dicuba dan dirasai menerusi rangkaian Pusat Telekomunikasi Unifi yang telah diberi nafas baharu ini. Selain daripada peranti telekomunikasi, mereka turut menjual PlayStation 5, jam tangan pintar, pembesar suara pintar, sistem rumah pintar dan peranti pintar, yang mana akan ditambah dari masa ke semasa.

Anda mungkin tertanya-tanya, apa yang telah didigitalkan di pusat telekomunikasi mereka ini? Sebagai cawangan pertama yang diberikan nafas baharu, segala urusan berkaitan Unifi adalah lebih sistematik dan lebih mudah. Pengguna hanya perlu mengambil nombor giliran dengan mengimbas kod QR, dan nombor tersebut akan dihantar terus ke telefon bimbit mereka melalui SMS.
Pelanggan mempunyai pilihan untuk terus berada di dalam atau tidak perlu menunggu di pusat telekomunikasi Unifi ini dan boleh membuat urusan lain sementara giliran mereka dipanggil secara SMS. Sistem penggiliran sebegini juga akan dibawakan ke TMpoint yang lain secara berperingkat.

Pengguna juga boleh melakukan sebarang urusan berkaitan bil mereka, dengan bantuan ‘Care Crew’ Unifi, atau menerusi kiosk layan diri yang turut menyokong untuk membuat pembayaran bil selain Unifi. Unifi IOI City Mall juga menyediakan ruang untuk pengguna mencuba sendiri perkhidmatan Unifi TV, dan turut mempunyai tablet yang membolehkan pengguna mencuba aplikasi melalui peranti tersebut.
Pelanggan boleh hadir ke cawangan ini untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan berkaitan langganan mereka, dan sekiranya perlu, pasukan sokongan teknikal akan dihantar ke lokasi pengguna untuk menangani masalah berkaitan langganan mereka.

Unifi turut menyasarkan untuk membuka lebih banyak pusat telekomunikasi yang terdiri daripada empat (4) kategori, iaitu:
- Experience – Pusat Telekomunikasi memfokuskan pengalaman yang membolehkan pengguna merasai sendiri perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM serta memberi inspirasi kepada mereka tentang bagaimana produk digital dapat meningkatkan cara hidup pengguna
- Hub – Diwujudkan sebagai pusat telekomunikasi setempat, Hub menyediakan ruang kepada komuniti dan PMKS untuk belajar tentang teknologi dan pendigitalan. Pengguna juga boleh mengikuti bengkel-bengkel di ruang yang direka khas untuk tujuan ini.
- Connect – merupakan ruang sehenti untuk semua pengguna dan PMKS, daripada pembelian kepada mendapatkan sokongan serta perundingan tentang perkhidmatan dan produk Unifi.
- Express – menawarkan pembelian, pembayaran dan perkhidmatan yang cepat, Express akan diwujudkan secara kiosk/ kedai bersaiz kecil di lokasi-lokasi strategik dan berpotensi menjadi tumpuan ramai.

Unifi turut menyatakan bahawa TMpoint sedia ada juga akan dinaiktaraf secara berperingkat. Melalui pusat telekomunikasi Unifi yang telah diberi nafas baharu ini, TM berhasrat untuk membawakan satu perkhidmatan yang lebih menekankan kepada pengalaman pelanggan dan dalam masa yang sama memastikan teknologi berasimilasi dengan sempurna dalam kehidupan seharian kita semua sebagai pengguna.
- Info
- Layari : Laman Rasmi Unifi Untuk Maklumat Lanjut
Penafian : Advertorial daripada Unifi



