Pusat timbang sawit swasta di Felda Triang penuhi kriteria permohonan lesen - MPOB
zulfadli
06/06/2023 - 11:55
KUALA LUMPUR 6 Jun - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah meluluskan permohonan lesen peniaga buah kelapa sawit (DF) sebuah pusat timbang sawit swasta di Felda Triang, Pahang, pada 9 Februari 2023, setelah semua kriteria permohonan lesen yang ditetapkan dipenuhi.
MPOB dalam kenyataan hari ini berkata, lesen DF membolehkan pemegang lesen untuk membeli dan mengalih buah kelapa sawit (FFB) dari kebun kecil atau estet, selain menjual dan mengalih FFB ke kilang buah kelapa sawit.
Katanya, pelesenan industri sawit adalah bagi tujuan mengawal selia industri kelapa sawit secara sihat dan sempurna, sejajar dengan perkembangan industri kelapa sawit yang dinamik dan memastikan industri sawit berdaya saing serta berkembang dengan teratur.
"MPOB telah menambahbaik kriteria permohonan lesen bagi semua kategori lesen termasuk DF. Penambahbaikan kriteria ini adalah selari dengan keperluan dan perkembangan industri sawit yang dinamik.
"Kriteria baharu telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2022 yang merupakan pendekatan MPOB kepada penggiat industri untuk menjalankan urusniaga dan persaingan yang sihat dalam memastikan kualiti buah kelapa sawit serta penjanaan ekonomi dengan bayaran yang setimpal kepada pengeluar buah kelapa sawit.
"Antara kriteria permohonan lesen DF yang telah dimansuhkan adalah kesesuaian premis dan jarak. Permohonan lesen di Felda Triang 1 dan Triang 2 adalah memenuhi kriteria dan polisi pelesenan MPOB dan tidak melanggar mana-mana syarat lesen yang dikuatkuasakan ke atas pemegang lesen," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada 1 Jun lepas, media melaporkan mengenai bantahan pembukaan pusat timbang sawit dan swasta di tanah rancangan dan ladang di antara Felda Triang 1 dan Felda Triang 2.
MPOB berkata, di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) dan perundangan subsidiari di bawah Akta 582, pelesenan industri kelapa sawit adalah termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 [Peraturan Pelesenan 2005] yang melesenkan 24 kategori lesen termasuk DF.
Katanya, semua permohonan lesen MPOB melalui prosedur operasi standard (SOP) serta tertakluk kepada kriteria lesen dan polisi permohonan lesen yang telah ditetapkan oleh MPOB. - DagangNews.com

